
PETALING JAYA: Waze menafikan bahawa aplikasi navigasinya menimbulkan risiko keselamatan terhadap pengguna di Malaysia.
Jurucakap Waze Mobile Ltd berkata, pihaknya beroperasi berlandaskan undang-undang yang ditetapkan dan sentiasa melindungi privasi pengguna.
“Dakwaan bahawa Waze mengumpul maklumat sensitif kerajaan atau membenarkan mana-mana pihak mengeksploitasi data peribadi pengguna adalah tidak benar sama sekali.
“Waze beroperasi di bawah dasar privasi yang ketat bagi melindungi data pengguna dan mematuhi piawaian perlindungan data perundangan global,” katanya ketika dihubungi sebuah media tempatan.
Semalam, media melaporkan, penjawat awam di negara ini dilarang menggunakan aplikasi navigasi Waze yang berpangkalan di Israel berkuat kuasa serta-merta.
Arahan itu dibuat menerusi pemakluman rasmi oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bertarikh 20 Oktober 2026 susulan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi pemakluman rasmi itu, semua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian dan ketua jabatan perlu memastikan keputusan terbabit dimaklumkan kepada semua pegawai di bawah seliaan masing-masing.
Ia termasuk agensi dan jabatan berkaitan untuk dilaksanakan dengan serta merta. – UTUSAN
The post Waze nafi kumpul maklumat sulit kerajaan appeared first on Utusan Malaysia.





