sarah22/10/2026 - 14:41 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Okt - Kerajaan akan memperluas penelitian terhadap aplikasi dan produk digital lain, khususnya yang tertakluk kepada undang-undang Israel, susulan keputusan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam atas faktor keselamatan data dan kedaulatan negara.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan terus menilai aplikasi berkaitan dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya risiko keselamatan yang sama dikenal pasti.
Menurut MKN, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan penyalahgunaan data pergerakan dan corak perjalanan pengguna oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Seiring dengan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI), penyalahgunaan data pergerakan dan corak perjalanan oleh pihak berniat jahat berpotensi menimbulkan ancaman serius," menurut MKN dalam kenyataan media hari ini.
Larangan penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam dibuat berdasarkan dua pertimbangan utama, iaitu skop data terperinci yang dikumpulkan aplikasi itu, termasuk lokasi, pergerakan, perjalanan dan maklumat peranti pengguna, serta terma penggunaan yang menurut MKN meletakkan pengguna di bawah undang-undang Israel dan bidang kuasa eksklusif mahkamah di Tel Aviv.
MKN menegaskan keputusan itu bukan semata-mata berdasarkan asal usul teknologi, sebaliknya turut mengambil kira undang-undang yang mengawal selia data pengguna, memandangkan maklumat berkenaan merupakan aset strategik negara.
Bagaimanapun, larangan tersebut tidak melibatkan Google Maps kerana menurut MKN, aplikasi itu berpangkalan di Amerika Syarikat dan tertakluk kepada undang-undang negara berkenaan, berbeza daripada kedudukan Waze yang dinyatakan dalam kenyataan itu.
Kerajaan turut menyarankan penjawat awam dan orang ramai menyahpasang Waze daripada peranti masing-masing kerana pengumpulan data masih boleh berlaku walaupun aplikasi tidak digunakan secara aktif. Pelaksanaan larangan akan dibuat secara berfasa, bermula dalam kalangan penjawat awam, sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan berdasarkan penilaian semasa.
Dalam perkembangan berkaitan, MKN memaklumkan aplikasi navigasi tempatan TuJu yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mencatatkan lebih 700,000 muat turun sejak semalam. TuJu versi 2.0 kini tersedia untuk Android, manakala versi iOS dijangka diperkenalkan pada penghujung Oktober 2026.
MKN berkata, data pengguna TuJu disimpan pada pelayan milik LLM, manakala pembangunan aplikasi tempatan itu tertakluk kepada keperluan keselamatan siber termasuk Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854). Selain TuJu, pengguna juga boleh memilih PINTAZ atau aplikasi navigasi lain yang bersesuaian.- DagangNews.com




