WCE dilanjutkan ke Masjid Tanah tunggu kelulusan Kabinet

LocalPolitics
28 Oct 2026 • 11:39 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: WCE dilanjutkan ke Masjid Tanah tunggu kelulusan Kabinet

ALOR GAJAH: Cadangan untuk menyambung Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Banting, Selangor ke Masjid Tanah di sini sedang diberi perhatian tetapi pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu berpotensi membuka lembaran baharu pembangunan di Masjid Tanah, khususnya dalam aspek jaringan pengangkutan, pertumbuhan ekonomi dan kemudahan perhubungan penduduk.

Beliau berkata, cadangan jajaran itu pernah dibincangkan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang dijangka membuka lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam sektor perindustrian dan pembangunan setempat.

“Ini perbincangan kita dulu. Lebuhraya Pantai Barat bukan sahaja dari Pontian, Batu Pahat, Muar, ia akan sampai ke Masjid Tanah ini, kita mulakan dari Masjid Tanah ke Banting terlebih dahulu, insya-Allah.

“Sekiranya cadangan itu direalisasikan, Masjid Tanah berpotensi menikmati limpahan pembangunan hasil hubungan yang lebih baik dengan kawasan lain di Semenanjung termasuk Lembah Klang,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Masjid Tanah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Villa d’Acqua, Kampung Pulau di sini, malam tadi.

Ahmad Zahid menjelaskan, pelaksanaan projek masih tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri dan belum boleh dianggap sebagai keputusan muktamad kerajaan.

“Perkara ini telah dibincangkan dalam Jemaah Menteri, bukan baru perancangan, Insya-Allah akan dilaksanakan tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, projek WCE sedia ada sepanjang kira-kira 193 kilometer yang menghubungkan Banting dengan Taiping, Perak mencatatkan kemajuan pembinaan sebanyak 97.1 peratus pada akhir Jun lalu.

Sebanyak lapan daripada 11 seksyen sudah beroperasi manakala baki Seksyen 3, 4 dan 7 disasarkan siap menjelang akhir tahun ini. Keseluruhan jajaran dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal 2027.-UTUSAN

The post WCE dilanjutkan ke Masjid Tanah tunggu kelulusan Kabinet appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved