
KUALA LUMPUR – Peruntukan pembangunan kawasan (CDF) disalurkan terus kepada projek yang diluluskan dan bukannya diberikan secara langsung kepada Ahli Parlimen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan projek pembangunan ditentukan berdasarkan keperluan kawasan serta tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri dan kementerian berkaitan.
Menurut beliau, dakwaan bahawa kawasan Parlimen pembangkang dipinggirkan dalam pengagihan peruntukan pembangunan adalah tidak benar.
“Projek tidak semestinya perlu disalurkan melalui Ahli Parlimen. Malah, di kawasan yang diwakili parti kerajaan sendiri, peruntukan juga tidak diberikan terus kepada Ahli Parlimen kerana peranan mereka hanya mengesahkan projek berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Che Mohamad Zulkifly membangkitkan isu pengagihan CDF secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti, selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut mengambil kira keperluan pembangunan di kawasan yang diwakili pembangkang.
Sebagai contoh, beliau berkata peruntukan Persekutuan kepada Terengganu yang ditadbir pembangkang meningkat kepada RM8.2 bilion bagi 2027 berbanding RM2.1 bilion pada 2022.
Selain itu, sebanyak RM123 juta diluluskan bagi melaksanakan 197 projek pembangunan di Besut meliputi sektor infrastruktur, kesihatan, perumahan, pertanian, pendidikan dan tebatan banjir.
“Hakikatnya, peruntukan itu ditambah. Saya tegaskan sekali lagi bahawa kita tidak meminggirkan mana-mana kawasan Parlimen mahupun negeri,” katanya.
Beliau berkata, penentuan projek mengambil kira keutamaan pembangunan negara, hasil libat urus dengan kementerian dan jabatan, input kerajaan negeri serta pejabat daerah, selain kemampuan kewangan kerajaan dan keperluan rakyat setempat.- KOSMO! ONLINE
The post CDF disalur terus kepada projek, bukan Ahli Parlimen – Anwar appeared first on Kosmo Online.





