Rumah mahal tapi kecil, cadangan saiz minimum seragam diteliti

20 Oct 2026 • 3:19 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rumah mahal tapi kecil, cadangan saiz minimum seragam diteliti

PETALING JAYA – Cadangan mewajibkan satu saiz lantai minimum yang seragam di seluruh negara perlu diteliti secara menyeluruh.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, cadangan berkenaan perlu mengambil kira perbezaan harga tanah, kos pembangunan, lokasi, jenis kediaman dan keperluan isi rumah.

“Ini bagi memastikan ketetapan tersebut tidak akhirnya meningkatkan kos pembangunan dan harga rumah kepada pembeli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Isnaraissah Munirah Majilis@Fakhary (Warisan-Kota Belud) mengenai rancangan mewajibkan spesifikasi saiz lantai minimum bagi rumah mampu milik swasta demi menjamin ruang kediaman keluarga berdaya huni.

Pada masa sama, Isnaraissah Munirah turut bertanya apakah langkah intervensi kementerian terhadap fenomena shrinkflation perumahan, iaitu keadaan harga kediaman meningkat sedangkan saiz unit semakin mengecil, di Dewan Rakyat, hari ini.

Aiman Athirah menegaskan penyediaan rumah mampu milik bukan sahaja perlu mengambil kira harga semata-mata, malah juga aspek saiz, kualiti, lokasi dan keselesaan penghuni.

“Saiz minimum rumah mampu milik ditetapkan antara 600 kaki persegi bagi satu bilik tidur, 700 kaki persegi bagi dua bilik tidur dan 800 kaki persegi bagi tiga bilik tidur.

“Penetapan saiz dan spesifikasi rumah mampu milik yang dibangunkan sektor swasta turut tertakluk kepada dasar serta syarat ditentukan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Bagaimanapun Aiman Athirah berkata, penyediaan unit lebih kompak tidak semestinya menjejaskan kebolehdiaman sekiranya reka bentuk dan saiznya bersesuaian dengan keperluan kumpulan sasaran seperti individu bujang, pasangan muda dan warga emas.

Apa yang penting jelas beliau, pengecilan saiz tidak seharusnya mengorbankan keselesaan, fungsi dan kualiti kehidupan penghuni.

Beliau berkata, penyediaan perumahan ketika ini turut berpandukan Standard Perumahan Kebangsaan CIS 26:2019, manakala Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 menetapkan keperluan minimum bagi ruang tertentu dalam kediaman.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan turut menambah baik Program Residensi Rakyat dengan menetapkan keluasan minimum 750 kaki persegi bagi memastikan aspek daya huni diberikan penekanan.

Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan terus meneliti serta memperkukuh garis panduan berkaitan penyediaan rumah mampu milik bagi memastikan keseimbangan antara harga, saiz, kualiti dan lokasi.

“Matlamat kerajaan bukan sekadar memastikan rakyat mampu membeli sebuah rumah, tetapi memastikan rumah yang mampu dibeli itu juga selesa, sesuai untuk didiami dan memenuhi keperluan kehidupan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Rumah mahal tapi kecil, cadangan saiz minimum seragam diteliti appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved