sarah25/11/2026 - 17:54 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov - Usaha mempercepat pembinaan Seksyen 7B Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) meningkatkan kos pembinaan WCE Holdings Berhad (WCE Holdings), sekali gus menyebabkan kerugian sebelum cukai kumpulan meningkat kepada RM50.4 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2027 (2QFY27).
Kerugian itu meningkat kira-kira 40.4% berbanding RM35.9 juta pada tempoh sama tahun lalu, meskipun hasil kutipan tol terus mencatatkan pertumbuhan.
WCE Holdings dalam kenyataan hari ini berkata, bahagian pembinaannya turut mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM15.3 juta pada suku berkenaan, terutama disebabkan kos tambahan bagi mempercepat kerja pembinaan, termasuk kenaikan harga bahan binaan dan bahan api serta perubahan reka bentuk.
Anak syarikat pembinaannya, WCE Maju Sdn Bhd, kini memberi tumpuan kepada baki kerja pembinaan Seksyen 7B serta empat kawasan rehat dan rawat (R&R), dengan hasil bahagian pembinaan meningkat 24% pada suku berkenaan.
Hasil kutipan tol terus meningkat
Meskipun berdepan peningkatan kos pembinaan, hasil kutipan tol WCE meningkat 6% pada suku kedua dan 9% bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2026, didorong pertambahan jumlah trafik di seksyen lebuh raya yang telah beroperasi.
Peningkatan kutipan tol itu membantu mengurangkan kerugian sebelum cukai segmen konsesi sebanyak 3% kepada RM65.2 juta bagi tempoh enam bulan berkenaan, berbanding RM67.1 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings, Lyndon Alfred Felix berkata, pertumbuhan berterusan hasil kutipan tol mencerminkan peningkatan trafik yang positif, sekali gus mengukuhkan keyakinan kumpulan terhadap potensi jangka panjang WCE sebagai koridor pengangkutan utama di pantai barat Semenanjung Malaysia.
Kekalkan sasaran operasi penuh awal 2027
Setakat ini, lapan daripada 11 seksyen WCE telah beroperasi, meliputi jajaran sepanjang 180 kilometer merentasi Selangor dan Perak.
Kerja pembinaan Seksyen 3 yang menghubungkan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dengan Lebuhraya Persekutuan serta Seksyen 7 dari Assam Jawa ke Tanjong Karang masih berjalan, manakala Seksyen 4 yang telah siap sepenuhnya dijadualkan dibuka bersama Seksyen 3.
WCE Holdings mengekalkan sasaran keseluruhan jajaran lebuh raya itu beroperasi sepenuhnya pada awal 2027, yang dijangka meningkatkan jumlah trafik dan hasil kutipan tol berulang serta memperkukuh aliran tunai operasi kumpulan.
Kerugian sebelum cukai enam bulan meningkat kepada RM83.8 juta
Bagi suku kedua FY27, hasil kumpulan kekal stabil pada RM154.8 juta berbanding RM154.3 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kekal positif pada RM15.6 juta.
Secara keseluruhannya, kerugian sebelum cukai bagi enam bulan pertama FY27 meningkat kepada RM83.8 juta berbanding RM70.5 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala hasil merosot 46% susulan pengurangan aktiviti pembinaan apabila projek WCE semakin menghampiri peringkat penyiapan. - DagangNews.com






