Pengambilalihan baki 30% kepentingan syarikat usaha sama punca utama WCT rugi RM85.7 juta

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 5:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengambilalihan baki 30% kepentingan syarikat usaha sama punca utama WCT rugi RM85.7 juta Image from: Pengambilalihan baki 30% kepentingan syarikat usaha sama punca utama WCT rugi RM85.7 juta sarah25/11/2026 - 17:41 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov - Pengambilalihan baki 30% kepentingan ekuiti dalam sebuah syarikat usaha sama mengakibatkan WCT Holdings Berhad (WCT) mencatatkan kerugian bersih sekali sahaja sebanyak RM66 juta, sebahagian besarnya berpunca daripada penurunan nilai muhibah (goodwill).

 

Kerugian tersebut menjadi faktor utama WCT mencatatkan kerugian bersih RM85.7 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY26), berbanding keuntungan bersih RM10.5 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

WCT dalam kenyataan hari ini berkata, hasil suku ketiganya turut merosot hampir 11% kepada RM427 juta berbanding RM479.5 juta pada tahun sebelumnya, susulan sumbangan lebih rendah daripada bahagian kejuruteraan dan pembinaan serta pembangunan hartanah, masing-masing sebanyak RM27 juta dan RM42 juta.

 

Sebagai latar belakang, WCT pada 31 Julai 2026 mengumumkan pengambilalihan baki 30% kepentingan ekuiti dalam Jelas Puri Sdn Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, WCT Land Sdn Bhd.

 

Kerugian operasi pembinaan meningkat

Bagi tempoh sembilan bulan pertama FY26, bahagian kejuruteraan dan pembinaan mencatatkan peningkatan kerugian operasi kepada RM39.1 juta berbanding RM11.2 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala hasil menyusut kepada RM675.9 juta daripada RM736.7 juta.

 

Penurunan hasil itu disebabkan ketiadaan sumbangan daripada projek yang telah disiapkan pada tahun kewangan sebelumnya serta kemajuan kerja yang lebih perlahan bagi projek yang menghampiri peringkat penyiapan.

 

Bagaimanapun, buku tempahan pembinaan WCT kekal kukuh pada kira-kira RM4.2 bilion setakat akhir September 2026, disokong beberapa kontrak baharu termasuk projek Menara Ethos di Tun Razak Exchange (TRX).

 

Pengarah Urusan Kumpulan WCT, Lai Cheng Yee berkata, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek secara berdisiplin serta memastikan kesinambungan projek baharu bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.

 

Jualan hartanah belum dibilkan RM790 juta

Sementara itu, bahagian pembangunan hartanah mencatatkan hasil lebih rendah sebanyak RM418.2 juta dan keuntungan operasi RM75.3 juta, berbanding masing-masing RM597 juta dan RM100.5 juta pada tempoh sama tahun lalu, apabila kumpulan mencatatkan jualan hartanah dan tanah yang lebih tinggi.

 

Jumlah jualan hartanah belum dibilkan setakat ini berjumlah RM790 juta, manakala kumpulan turut memperkenalkan VOUG, komponen komersial pertama dalam pembangunan bersepadu WCity OUG.

 

Bahagian pelaburan dan pengurusan hartanah serta segmen makanan dan minuman pula mencatatkan hasil RM148.5 juta dan kerugian operasi RM34.5 juta, antaranya disebabkan perubahan kaedah perakaunan susulan pemindahan aset pusat beli-belah kepada Paradigm REIT serta kerugian daripada pengambilalihan baki kepentingan syarikat usaha sama tersebut.

 

Secara keseluruhannya, WCT mencatatkan kerugian bersih RM66.4 juta bagi sembilan bulan pertama FY26 berbanding keuntungan bersih RM37.8 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala hasil menyusut kepada RM1.2 bilion daripada RM1.5 bilion.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved