WCT ambil alih baki 30% pegangan KWSP dalam syarikat pemaju Paradigm Petaling Jaya

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2026 • 6:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

WCT ambil alih baki 30% pegangan KWSP dalam syarikat pemaju Paradigm Petaling Jaya Image from: WCT ambil alih baki 30% pegangan KWSP dalam syarikat pemaju Paradigm Petaling Jaya johardy31/07/2026 - 18:45 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Julai – WCT Holdings Bhd mengambil alih baki 30% pegangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam Jelas Puri Sdn. Bhd. pada harga RM140 juta sekali gus memperoleh pemilikan penuh syarikat yang membangunkan projek pembangunan bersepadu Paradigm Petaling Jaya.

 

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, WCT berkata, anak syarikat milik penuhnya, WCT Land Sdn. Bhd. akan memperoleh 93 juta saham Jelas Puri daripada KWSP dengan keseluruhan harga pembelian dibayar secara tunai menggunakan dana yang dijana secara dalaman.

 

Ketika ini, WCT Land memiliki 70% kepentingan dalam Jelas Puri. Selepas urus niaga itu dimuktamadkan, yang dijangka pada awal Ogos 2026, Jelas Puri akan menjadi anak syarikat milik penuh tidak langsung WCT.

 

Pemilikan penuh itu, menurut WCT, akan memberikan kumpulan lebih fleksibiliti dalam menguruskan Jelas Puri serta melaksanakan pelbagai latihan korporat pada masa hadapan, termasuk penstrukturan semula atau rasionalisasi, tanpa memerlukan kelulusan rakan usaha sama.

 

Jelas Puri merupakan pemaju projek pembangunan bersepadu Paradigm Petaling Jaya di Kelana Jaya yang merangkumi menara pejabat The Ascent, hotel Le Méridien Petaling Jaya, Paradigm Mall Petaling Jaya, Azure Residences dan Sapphire Paradigm.

 

Pada Jun 2025, syarikat itu telah menjual Paradigm Mall Petaling Jaya kepada Paradigm Real Estate Investment Trust (Paradigm REIT). Bagaimanapun, Jelas Puri masih memiliki hotel Le Méridien Petaling Jaya serta 230 juta unit dalam Paradigm REIT.

 

Catat kerugian bersih RM7.51 juta pada FY2025

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, Jelas Puri mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM7.51 juta dengan hasil RM101.22 juta. Aset bersih syarikat itu berjumlah RM191.25 juta.

 

Menurut WCT, harga pembelian tersebut dipersetujui berasaskan prinsip persetujuan antara pembeli dan penjual yang sanggup berurus niaga, selepas mengambil kira kedudukan kewangan dan prospek Jelas Puri, kos pelaburan KWSP serta faktor komersial lain yang berkaitan.

 

Urus niaga itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham WCT.

 

Namun, penyempurnaannya tertakluk kepada Jelas Puri memperoleh persetujuan daripada Malaysian Trustees Bhd selaku pemegang amanah dan pemegang amanah sekuriti bagi pemegang nota serta pihak berkepentingan di bawah program bon RM500 juta syarikat itu.

 

Saham WCT ditutup meningkat 1.28% kepada 39.5 sen hari ini, memberikan syarikat itu nilai pasaran sebanyak RM615.8 juta. Sejak awal tahun ini, harga saham WCT telah susut hampir 32%. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved