
PETALING JAYA: UEM Sunrise Berhad memperkenalkan penjenamaan semula identiti korporatnya dengan slogan baharu, ‘Demi Masa Depan Yang Lebih Bermakna’ sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh hala tuju perniagaan dan memacu fasa pertumbuhan baharu syarikat.
Penjenamaan semula itu mencerminkan transformasi UEM Sunrise sebagai pemaju hartanah yang lebih fokus dengan memberi penekanan kepada tiga teras pertumbuhan strategik iaitu pembangunan hartanah, pelaburan hartanah serta usaha niaga dan pelaburan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Shaharul Farez Hassan berkata, penjenamaan semula itu melangkaui pengenalan identiti korporat baharu, mencerminkan komitmen mendalam syarikat terhadap pertumbuhan yang berpaksikan tujuan serta penciptaan nilai jangka panjang.
“Demi masa depan yang lebih bermakna merupakan falsafah yang mendasari cara kami mencipta nilai, serta menjadi piawaian yang kami pegang teguh dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Setiap keputusan yang kami ambil hari ini perlu memperkukuh komuniti yang kami santuni, mewujudkan nilai berkekalan kepada para pemegang saham serta menyumbang secara bermakna kepada masa depan Malaysia.
“Seiring dengan perkembangan perniagaan, kami memberi tumpuan kepada pelaksanaan yang berdisiplin, peruntukan modal yang bertanggungjawab serta pembinaan portfolio yang berdaya tahan bagi menjana pertumbuhan mampan jangka panjang.
“Tujuan kami menjadi panduan dalam mengenal pasti peluang secara strategik, mencipta dengan aspirasi serta melaksanakan dengan disiplin,” katanya dalam kenyataan.
Ketiga-tiga teras itu secara bersama membentuk model perniagaan yang lebih seimbang dan berdaya tahan.
la membolehkan syarikat menyampai pembangunan yang bernilai, meningkatkan aliran pendapatan berulang serta meneroka kerjasama strategik.
Dengan sokongan peruntukan modal yang berdisiplin dan pengukuhan portfolio, pendekatan ini memperkukuh keupayaan syarikat untuk menjana pertumbuhan mampan jangka panjang.
Beliau berkata, elemen utama dalam penjenamaan semula itu ialah grafik Seed, yang melambangkan kepercayaan UEM Sunrise bahawa setiap pembangunan bermakna bermula dengan tujuan yang jelas dan terancang.
“Setiap benih membawa potensi, namun impaknya bergantung kepada keputusan bijak yang dibuat sejak peringkat awal.
“Bagi UEM Sunrise, ia mencerminkan falsafah berterusan mengenai tanggungjawab pengurusan, iaitu memahami perkara yang perlu dibangunkan, lokasi yang sesuai, masa yang tepat serta, yang paling penting, perkara yang perlu dipelihara.
“Pendekatan ini mengimbangi disiplin komersial dengan tanggungjawab untuk mewujudkan ruang yang memberikan nilai berkekalan kepada masyarakat, perniagaan dan generasi akan datang,” katanya.
Selain membangunkan perbandaran yang dinamik dan komuniti bersepadu, UEM Sunrise turut mengambil langkah strategik untuk memelihara aset semula jadi yang mampu menjana nilai jangka panjang. SIREH Park, antara taman bandar terbesar di Malaysia.
Melangkah ke hadapan, UEM Sunrise akan terus membina legasi ini melalui pelaksanaan yang berdisiplin, kecemerlangan operasi serta pertumbuhan yang bertanggungjawab.
Berpandukan tujuan baharunya, syarikat kekal komited untuk mewujudkan komuniti yang saling terhubung, merealisasikan nilai mampan serta mencipta ruang yang kekal relevan untuk generasi akan datang. – UTUSAN
The post UEM Sunrise lancar penjenamaan semula identiti korporat appeared first on Utusan Malaysia.






