Ayah telah lebih setahun terlantar. Namun kami bertuah kerana memiliki adik yang bersedia menjaga dan menguruskan keperluan ayah. Setiap hujung minggu pula, kami yang bekerja bergilir-gilir untuk menjenguk dan meringankan beban adik seketika.
Satu ketika ayah langsung tidak mampu menjamah makanan. Keadaannya amat lemah dan cukup merisaukan. Hanya seteguk dua air mampu ditelannya. Apabila keadaan berterusan menjelang Maghrib. Adik menghubungi klinik desa yang jaraknya 20 minit perjalanan. Seperti biasa, seorang doktor dan MA (medical assistant) segera tiba memeriksa keadaan ayah. Doktor berkata “Pak cik perlukan air ni. Dalam keadaan pak cik macam ni, tidak perlulah kita bawa ke hospital. Kasihan, uzur begini nak dibawa ke sana-ke sini. Biar kami buat apa yang boleh dulu.” Kemudian mereka pun pulang. Tidak lama selepas itu MA datang membawa peralatan bagi memasukkan air dalam tubuh ayah. Setelah selesai menguruskannya, MA berpesan kepada adik. “Kak, air habis nanti call saya ya, tidak kisah pukul berapa. Saya datang gantikan air.” Sesudah Isyak, adik memantau keadaan air. Air ada lagi, adik kunci alarm di telefon dalam jam 2 pagi. Jangkaannya mungkin ketika itu air telah habis. Adik tidur dahulu. Tiba-tiba pintu diketuk dan diselangi dengan ucapan salam. Adik bergegas bangun! Ahh! Jam 3 pagi! Terus teringat air ayah. Alamak!. Kenapa alarm tak berbunyi? “ Err..siapa tu??” adik bertanya sebelum pintu dibuka. “MA, kak.” MA?? Ya Allah.. pintu terus dibuka “ Tahu..akak mesti tertidur..saya standby je.” MA berkata sambil tersenyum.
Alhamdulillah. Kami sangat bertuah ditakdirkan mendapat khidmat kakitangan dari Klinik Kesihatan Batu 4 Sungai Lembing yang siap siaga tanpa mengira masa dan keadaan. Tentang ayah, segala-galanya diuruskan dengan baik dan sopan. Dari mencuci luka di kaki ayah akibat diabetes dan menggantikan plastik pundi kencing secara berjadual. Jika dihubungi untuk khidmat nasihat, mereka dapat memberi panduan yang jelas. Jika kecemasan, mereka tangkas tanpa alasan. Meski kini telah sembilan tahun ayah pergi meninggalkan kami, namun kami tetap mengingati dan cukup terharu dengan khidmat yang diberi.
Inilah terjemahan kebaikan yang lahir dari hati, ikhlas memikul tanggungjawab, sedaya upaya menepati keperluan pesakit dan penuh integriti. Mungkin ia tampak kecil di mata dunia, namun ia cukup besar buat mereka yang memerlukan. Mungkin juga ia dianggap tidak setara jika dibandingkan dengan pejuang di medan perang yang bergalang nyawa, namun huluran tangannya memberi nafas baru kepada yang sedang bertarung nyawa. Khidmatnya tulus, budinya luhur, memberi sinar harapan, meski sepi dan jauh dari sebarang sorotan. Namun kebaikan seperti ini akan kekal dihargai dan dikenang. Malah terus hidup dalam doa dan ingatan mereka yang pernah menerima sentuhannya.
Buat seluruh kakitangan Klinik Kesihatan Batu 4 Sungai Lembing, Pahang. Semoga Allah terus menganugerahkan kekuatan dan keikhlasan dalam menyantuni warga desa yang memerlukan seterusnya mengganjarkan kebahagiaan buat kalian di dunia dan di akhirat. Amin.
(Pendapat saya mengenai kesukarelawanan, suatu pegangan atau prinsip yang rapat dengan saya, juga terkandung dalam buku bertajuk, Suka Rela Sukar Lawan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2024) – Sebarang pertanyaan, hubungi zakiahsenin@gmail.com
Zakiah Senin adalah sukarelawan Yayasan SALAM Malaysia, sebuah NGO yang berdedikasi dalam bidang kesukarelawanan di Malaysia sejak 30 tahun lalu.
Kongsi perjalanan kesejahteraan anda dan berpeluang memenangi hadiah sehingga RM2,000! Ketahui cara penyertaan di sini. T&S terpakai.
Zakiah Senin (zakiahsenin@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.


