Suatu ketika dahulu, saya ditugaskan untuk menguruskan komuniti terpinggir di ibu kota. Mereka terdiri pengguna dadah, pekerja seks, bekas banduan, gelandangan dan mereka yang mempunyai pelbagai masalah sehingga tiada hala tuju. Dalam menyantuni komuniti ini, saya dan para sukarelawan seperjuangan perlu memenuhi beberapa etika kerja. Antaranya adalah bersifat terbuka.
Konsepnya sama seperti saat menyambut hari raya, konsep ziarah menziarahi sesama jiran tetangga, sahabat handai dan saudara mara adalah teras sambutan. Oleh itu, pintu rumah wajar dibuka. Sebagai tuan rumah, ‘membuka pintu’ adalah isyarat pertama bagi mengalu-alukan kehadiran ditambah lagi dengan sikap mesra, sedia menerima dan menghargai sesiapa sahaja yang datang berkunjung. Bagaimana pula jika pintu rumah tertutup rapat? Sudah tentu tetamu yang datang serba salah bertandang. Mengganggukah? Tidak sudi? Sedang berehat? Tiada di rumah? Pelbagai lagi sangkaan yang mungkin bersimpang siur di fikiran. Apatah lagi terlihat kelibat orang di dalam rumah, tetapi seruan salam yang dilontarkan langsung tiada sambutan. Lantaran apa tindakan tetamu tersebut? Sudah tentu berlalu pergi dengan rajuk di hati dan kemungkinan besar, bersumpah! Tidak mahu lagi menjejak kaki ke sini.
Itulah tamsilannya jika sukarelawan yang ditugaskan tidak memiliki sifat terbuka, malah tiada langsung niat membantu. Tambah buruk lagi dalam kategori yang tak bijak menyembunyikan perasaannya. Sangat ketara, apa yang yang tersirat di hati, tersurat di riak wajah. Riak wajah pula mudah dibaca dan tingkah laku akan mudah ditebak, khusus dari kelompok sasaran yang selama ini telah melalui pengalaman pahit yang serupa, dihina, ditohmah, dipandang rendah, sentiasa menerima jolokan negatif dan prasangka yang bukan-bukan. Tidak mustahil, komuniti terpinggir ini cukup berhati-hati apabila berhadapan dengan sesiapa sahaja yang tidak dikenali. Lantaran pengalaman yang pernah dilalui membuatkan hati mereka cukup rapuh dan mudah mengambil keputusan untuk menjauhkan diri, atau hati mereka menjadi keras dan langsung ‘memangkah’ mentah-mentah individu yang menunjukkan riak wajah dan tingkah laku yang tidak diingini.
Oleh itu, jika kita adalah sukarelawan, alangkah bagus untuk kita memujuk hati agar melakukan kebaikan tanpa syarat. Ia akan membuatkan kita cenderung untuk bersikap terbuka dan menerima. Sikap terbuka ini akan memberi isyarat pertama kepada sesiapa yang ingin mendapatkan atau menghulurkan kerjasama. Sikap terbuka adalah gambaran yang baik kepada diri sukarelawan. Sudah tentu, kemesraan yang ditonjolkan, bahasa tubuh yang mengalu-alukan, menerima segala apa adanya, dan menghargai perbezaan akan memudahkan segala urusan. Sikap terbuka ini juga, menjanjikan pelbagai pengalaman yang berbeza dan mengandungi panduan serta pengajaran yang tersendiri. Akhirnya, sikap ini mampu meningkatkan kualiti diri kita dari segi pembentukan persepsi, meluaskan pemikiran serta matang mempertimbangkan sesuatu impak atau keadaan.
Pernah satu ketika saya menyertai Allahyarham Mohd Arei Kamaruddin, kakitangan Yayasan Salam Malaysia yang kerap mengetuai Misi Outreach di kota raya ini. Saya memasang telinga mendengar penerangannya kepada para sukarelawan terlibat. Allahyarham berkata, “Bersikap terbukalah, jangan memandang serong, jangan prejudis dan tidak cepat menghukum. Hanya dengan cara ini kita akan cepat dapat menyesuaikan diri dan mereka akan cepat menerima kita. Kita perlu sedar, sebenarnya antara kita dengan mereka tiada beza. Hakikatnya memang begitu. Namun, perbezaan yang paling ketara antara mereka dengan kita adalah ‘peluang’. Allah rezekikan pada kita ‘peluang’ yang baik, ada keluarga yang baik, ada persekitaran yang baik, ada kawan-kawan yang baik, ada pendidikan yang baik, ada pekerjaan yang baik seterusnya membuatkan kita memiliki tahap kewarasan dan pertimbangan yang baik. Alhamdulillah, Allah rezekikan kepada kita segala yang baik-baik. Namun, kebanyakkan mereka ini, tiada ‘peluang’ tersebut. Jadi bersyukurlah. Mari tunjukkan rasa syukur kita ini dengan membantu mereka. Mereka akan terpanggil untuk merapati kita, jika jelas kita mempunyai sikap terbuka dan menerima mereka seadanya. Siapa tahu? mungkin kehadiran kita hari ini menjadi ‘peluang’ untuk mereka berubah.”
(Pendapat saya mengenai kesukarelawanan, suatu pegangan atau prinsip yang rapat dengan saya, juga terkandung dalam buku saya bertajuk, Suka Rela Sukar Lawan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2024) – Sebarang pertanyaan, hubungi zakiahsenin@gmail.com
Zakiah Senin adalah sukarelawan Yayasan SALAM Malaysia, sebuah NGO yang berdedikasi dalam bidang kesukarelawanan di Malaysia sejak 30 tahun lalu.
Kongsi perjalanan kesejahteraan anda dan berpeluang memenangi hadiah sehingga RM2,000! Ketahui cara penyertaan di sini. T&S terpakai.
Zakiah Senin (zakiahsenin@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.



