Trend percutian kini dilihat semakin berubah apabila ramai pelancong mula mencari destinasi yang menawarkan ketenangan, suasana santai dan pengalaman lebih dekat dengan alam semula jadi.
Jika sebelum ini percutian membeli-belah atau bandar besar menjadi pilihan utama, kini ramai lebih cenderung memilih lokasi yang membolehkan mereka ‘berehat’ daripada rutin harian dan penggunaan gajet yang berlebihan.

Western Australia (WA) antara destinasi yang semakin mendapat perhatian kerana menawarkan pelbagai lokasi percutian berkonsep alam semula jadi, daripada kawasan hutan dan pantai terpencil hinggalah pulau serta kawasan terumbu karang yang jauh daripada kesibukan kota.
Terletak hanya beberapa jam penerbangan dari Malaysia melalui Perth, WA menawarkan pengalaman percutian yang berbeza berbanding destinasi pelancongan biasa di Australia.
Di kawasan South West WA misalnya, pengunjung boleh menikmati suasana hutan dan kawasan desa yang lebih tenang.

Hidden Cabins di Ferguson Valley menawarkan penginapan chalet yang dikelilingi kehijauan alam, manakala The Cove Chalets di Denmark pula terkenal dengan pemandangan kawasan perairan Wilson Inlet dan suasana yang sesuai untuk aktiviti santai seperti berkayak serta berjalan kaki.
Selain penginapan berasaskan alam semula jadi, WA juga mempunyai beberapa lokasi perkhemahan yang sering menjadi pilihan pencinta aktiviti luar.

Elachbutting Rock yang terletak di kawasan Wheatbelt dikenali dengan formasi batu granit dan landskap terbuka yang luas. Ketika musim bunga, kawasan ini turut dipenuhi bunga liar yang menjadi antara tarikan utama pelawat.
Lucky Bay Campground pula terkenal dengan pantai berpasir putih dan air laut jernih. Kawasan ini juga sering dikaitkan dengan kehadiran kanggaru di sekitar pantai, sekali gus menjadi antara lokasi yang kerap dikunjungi pelancong.
Bagi percutian keluarga, Donnelly River Village menawarkan suasana lebih santai menerusi penginapan kotej serta kawasan perkampungan yang dikelilingi alam semula jadi.
Kehadiran haiwan seperti kanggaru dan emu di sekitar kawasan tersebut turut menjadi tarikan kepada pengunjung, terutama kanak-kanak.
WA juga terkenal dengan destinasi pulau dan kawasan marin yang sesuai untuk aktiviti berasaskan laut.

Di Ningaloo Coast, Sal Salis Ningaloo Reef menawarkan pengalaman penginapan berhampiran kawasan terumbu karang, selain aktiviti snorkeling dan pemerhatian hidupan marin. Pada musim tertentu, pengunjung juga berpeluang melihat spesies seperti yu paus dan pari manta di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Dirk Hartog Island Eco Lodge yang terletak dalam kawasan Shark Bay World Heritage Area menawarkan pengalaman bercuti di pulau terpencil yang hanya boleh diakses menggunakan bot atau pesawat kecil.
Dengan gabungan pantai, hutan, kawasan desa dan pulau terpencil, Western Australia kini dilihat sebagai antara destinasi yang sesuai untuk pelancong yang mahu menikmati suasana percutian lebih santai dan dekat dengan alam semula jadi. - Getaran, 21 Mei 2026




