WFM sedia buru dua pingat

10 Sep 2026 • 8:52 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: WFM sedia buru dua pingat

KUALA LUMPUR: Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) memasang sasaran dua pingat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya yang membuka tirai dari 19 September hingga 4 Oktober ini.

Presiden WFM, Datuk Chong Kim Fatt berkata, sasaran baharu itu dibuat selepas pihaknya melihat perkembangan positif atlet negara sepanjang menjalani latihan selama dua bulan di China.

Katanya, penilaian terkini memberi keyakinan bahawa skuad wushu negara mempunyai peluang untuk mencipta kejutan, sekali gus melepasi sasaran awal yang ditetapkan.

“Setakat ini kita meletakkan sasaran satu pingat, tetapi selepas membuat penilaian, kita menjangkakan mungkin boleh mendapatkan dua pingat.Kita akan cuba yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Mohamad Azlan Iskandar dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi ke kem latihan wushu negara, hari ini.

Menurut Kim Fatt, perkembangan atlet sentiasa dipantau meskipun sebahagian besar persiapan mereka berlangsung di China, dengan pihak pengurusan mengadakan perbincangan secara dalam talian hampir setiap minggu.

“Walaupun mereka menjalani latihan selama dua bulan di China, kami hampir setiap minggu mengadakan perbincangan secara dalam talian, termasuk dua kali seminggu dengan pengurus pasukan,” katanya.

WFM kini mengenal pasti empat acara yang berpotensi menyumbang pingat, dengan Tan Cheong Min dan Loh Ying Ting antara sandaran utama selain beberapa atlet lain.

“Pasukan kita kali ini boleh dikatakan terdiri daripada 50 peratus muka baharu dan 50 peratus muka lama. Kita berharap ada satu atau dua acara yang berpotensi untuk memenangi pingat,” katanya.

Pada edisi Hangzhou empat tahun lalu, Cheong Min yang bakal membawa Jalur Gemilang di Aichi-Nagoya bersama jaguh pecut negara, Mohd Azeem Fahmi, muncul satu-satunya penyumbang pingat Malaysia dalam wushu apabila meraih perak acara nanquan-nandao wanita.-UTUSAN

The post WFM sedia buru dua pingat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved