
WhatsApp sehingga ke hari ini bergantung kepada nombor telefon sebagai pengenal identiti untuk membolehkan anda mendaftar, mahupun berkomunikasi bersama satu sama lain. Namun, perkara berkenaan dijangka berubah tidak lama lagi.
Bermula hari ini, WhatsApp telah mula membolehkan para pengguna seluruh dunia untuk memilih dan mula menempah nama pengguna masing-masing yang unik dan berbeza antara satu sama lain. Pengguna boleh ke halaman Settings > Account > Username bermula hari ini pada aplikasi WhatsApp, dan seterusnya melakukan pemilihan untuk nama pengguna.

Daripada percubaan kami, pihak WhatsApp dilihat mengutamakan pengguna untuk pautkan akaun WhatsApp ke akaun Instagram atau Facebook, dan menggunakan nama pengguna yang sama seperti akaun Meta lain terlebih dahulu. Sekiranya tiada, baru anda boleh memilih nama pengguna yang berbeza menggunakan WhatsApp.
Ciri ini masih berasaskan pilihan pengguna, dan anda turut boleh memilih untuk tidak menambahnya. Tetapi sekiranya anda menambah, maka kelak anda turut boleh berhubung dengan yang lain melalui penggunaan nama pengguna ini. Dalam usaha memberikan privasi kepada pengguna, anda turut boleh menetapkan untuk seseorang rakan yang mempunyai kekunci khas sahaja boleh berhubung dengan anda, selain mengetahui nama pengguna WhatsApp anda.

WhatsApp mempunyai lebih 3 bilion pengguna, dan proses tempahan nama pengguna ini akan berlaku untuk beberapa bulan, sebelum ciri ini mula diaktifkan dan diperkenalkan secara global. Bagi anda yang kerap menggunakan WhatsApp, boleh mula menempah nama pengguna anda hari ini melalui aplikasi WhatsApp, dengan ke Settings > Account > Username.




