WhatsApp Menguji Kebolehan Menggunakan Gambar Daripada Tetapan Kenalan Menggantikan Profil Kosong

TechnologyDigital
2 Apr 2026 • 12:21 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

WhatsApp sedang menguji ciri baharu yang lebih mesra pengguna. Melalui ciri ini, jika seseorang tidak menetapkan gambar profil, WhatsApp akan secara automatik memaparkan gambar yang tersedia dalam tetapan kenalan iPhone pengguna.

Dengan kata lain, aplikasi akan menggunakan gambar yang sudah anda simpan untuk kenalan tersebut dan menjadikannya paparan profil pada skrin anda. Namun, gambar ini hanya muncul pada peranti anda sahaja dan tidak menukar profil sebenar kenalan untuk paparan kenalan atau orang lain. Buat masa ini, ciri ini hanya ditawarkan kepada segelintir pengguna beta di peranti iOS.

image is not available

WhatsApp turut memberi beberapa contoh penggunaan untuk ciri baharu ini. Pertama, bagi profil sendiri di mana jika anda tidak menetapkan gambar profil, WhatsApp akan memaparkan gambar kenalan yang disimpan dalam tetapan aplikasi. Gambar tersebut hanya boleh dilihat pada peranti anda sahaja dan tidak ditunjukkan kepada orang lain. Sekiranya tiada gambar disimpan, kenalan lain tetap akan melihat ikon lalai seperti biasa.

Kedua, untuk profil orang lain. Jika tetapan privasi anda menghalang seseorang daripada melihat gambar profil, WhatsApp akan memaparkan gambar   yang mereka simpan untuk anda dalam kenalan mereka sekiranya ada. Contohnya, jika tetapan privasi anda ditetapkan kepada “Tiada siapa” atau “Kenalan saya kecuali…”, mereka masih boleh melihat foto yang mereka simpan sendiri untuk anda.

Dengan cara ini, mereka dapat mengenal pasti anda dalam perbualan walaupun tetapan privasi tidak membenarkan gambar profil rasmi anda dipaparkan. Setakat ini, ciri ini masih berada dalam fasa pengujian dan hanya ditawarkan kepada sebilangan kecil pengguna terpilih terlebih dahulu untuk mendapatkan maklum balas sebelum ia dilancarkan secara meluas kepada semua pengguna.