
Program Windows Insider untuk sistem operasi Windows 11 membolehkan pengguna tegar sistem operasi tersebut untuk mencuba pelbagai ciri-ciri baru yang akan diperkenalkan oleh Microsoft di masa hadapan, dan pada masa yang sama, membolehkan pihak Microsoft untuk mendapatkan maklum-balas berkenaan ciri-ciri tersebut dan juga pepijat ataupun isu dengan cepat sekiranya ditemui.
Baru-baru ini, pihak Microsoft telah mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan beberapa ciri-ciri baru melalui program tersebut yang dijangka akan membantu produktiviti pengguna dan juga menyelesaikan masalah berkaitan memori sekiranya mereka menghadapi isu dengan komputer.
Pertama ialah ciri Proactive Memory Diagnostics, iaitu sebuah ciri yang akan mengimbas komponen memori komputer untuk mengetahui sekiranya ia mempunyai sebarang masalah. Secara lazimnya komponen memori adalah yang paling sukar untuk diperiksa, jadi dengan fungsi ini terbina, pengguna dijangka akan mendapat maklumat lanjut tentang apakah isu yang membelenggunya.

Sekiranya sistem anda dimulakan semula secara mengejut (kerana BSOD atau lain-lain), sistem operasi akan memberi pilihan untuk memulakan diagnosis memori, dan komputer anda akan dimulakan semula untuk imbasan komponen memori yang akan mengambil masa kira-kira 5 minit. Butiran mengenai diagnosis ini akan dihantar kepada pihak Microsoft juga untuk membolehkan mereka menentukan kaitan isu memori dan mengapa komputer anda tutup secara mengejut.
Microsoft juga mengatakan bahawa ciri ini hanya akan ditawarkan buat pengguna Windows Insider dengan komputer x64 buat masa ini, dan bukan untuk komputer Arm (cip Qualcomm Snapdragon).
Microsoft juga akan memperkenalkan fungsi Copy & Search pada kotak carian taskbar. Sebarang teks yang anda salin akan mengaktifkan bar carian yang akan memberi pilihan kepada pengguna untuk mencari kandungan mengenainya dengan cepat.

Satu lagi ciri baru ialah kemaskini kepada Voice Typing, iaitu Wait Time Before Acting. Fungsi ini akan membolehkan pengguna untuk mengubahsuai tahap tangkapan percakapan pengguna, dan akan memberi masa kepada pengguna untuk bercakap dengan kadar yang lebih selesa sebelum komputer menangkap percakapan pengguna dan menukarnya kepada teks.

Menariknya, fungsi ini akan diperkenalkan kepada semua versi Windows 11, dan bukan sahaja yang mempunyai keupayaan CoPilot.
Microsoft mengatakan bahawa kemaskini ini sudahpun mula ditawarkan kepada semua peserta Windows Insider melalui kemaskini Windows 11 Insider Preview Build 26220.6982 (KB5067109) yang diperkenalkan pada hari ini.

![Stesen Minyak Rayu Pulangkan Kucing Bernama Misai, Ada Penyakit FIP & Masih Dalam Rawatan [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/pets.jpeg)



