
Mesin pencetak memerlukan perisian pemandu (driver) untuk berfungsi dengan baik. Sekiranya anda masih menggunakan mesin pencetak berusia lebih 10 tahun, selepas ini proses menggunakannya pada komputer Windows 11 akan menjadi sukar kerana ia tidak lagi akan disokong.

Microsoft secara rasminya menghentikan sokongan driver mesin pencetak V3 dan V4 yang digunakan peranti legasi. Semua komputer Windows 11 24H2 dan 25H2 tidak lagi akan boleh mengemaskini perisian pemandu mesin pencetak mereka menggunakan Windows Update. Sokongan dihentikan kerana driver lama mempunyai isu kestabilan, mendatangkan risiko keselamatan, dan meningkatkan beban penyelenggaraan.
Walaupun sokongan dihentikan, Microsoft berkata majoriti pengguna Windows 11 tidak terjejas kerana mesin pencetak moden menyokong senibina perisian baharu. Sekiranya menghadapi masalah, kemas kini driver masih lagi boleh dilakukan secara manual menerusi lama pengeluar mesin pencetak.
Penghentian sokongan tidak dilakukan secara mengejut kerana telah diumumkan Microsoft pada September 2023. Masa yang mencukupi telah diberikan kepada pengeluar dan pemilik mesin pencetak.
Dengan senibina Windows 11, mesin pencetak boleh berfungsi tanpa pemilik memasang driver dan perisian khusus yang dihasilkan oleh pengeluar. Ini menjadikan pengalaman mesin pencetak di Windows 11 lebih senang dan mudah.


