
Ketika sorakan penonton bergema di Litar Antarabangsa Sepang menyaksikan aksi penuh adrenalin MotoGP Malaysia 2025, ada satu pasukan yang bekerja senyap di belakang tabir iaitu pasukan udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia). Di udara, mereka bukan hanya sekadar kru penerbangan, tetapi wira tanpa tepukan, sentiasa bersiap siaga demi keselamatan nyawa.

Tengah hari semalam, kecekapan mereka sekali lagi diuji apabila pelumba Moto3, Jose Antonio Rueda dari pasukan Red Bull KTM Ajo mengalami kemalangan serius. Tanpa berlengah, helikopter AS-365 N3 Dauphin dengan panggilan MEDEVAC 2 (M70-01 / MAR399C) digerakkan dari Sepang menuju ke Hospital Kuala Lumpur. Dalam masa kurang 30 minit, misi pemindahan perubatan itu dilaksanakan dengan ketepatan dan profesionalisme tinggi, dikemudi oleh Lt Kdr Maritim Mohd Akil bin Md Yussof, dibantu Lt Maritim Mohd Hairul bin Mohd Yassin dan Bintara Muda Maritim Wan Ahmad Fahmi bin Wan Zakaria bersama pasukan perubatan.

Menariknya, penugasan APMM di MotoGP tahun ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan tahun sebelumnya, menggunakan aset dan pasukan udara yang sama dari Stesen Udara Maritim Subang. Pesawat AS365N3 Dauphin sememangnya direka bagi tugasan medical evacuation (medevac) dengan kelebihan ruang kabin luas dan konfigurasi fleksibel untuk memuatkan ‘stretcher’ serta petugas perubatan. Setiap krew udara APMM turut dilatih khas sebagai ‘first responder’, mampu memberikan rawatan awal sebelum pesakit diserahkan kepada pasukan perubatan hospital.

Kehadiran aset udara APMM di acara berprofil tinggi seperti MalaysianGP bukan sekadar simbol kesiapsiagaan, tetapi bukti komitmen agensi ini dalam memastikan tahap keselamatan dan tindak balas kecemasan negara setanding standard antarabangsa.
Tatkala dunia menumpukan perhatian kepada deruman enjin di litar, di langit Sepang ada wira sebenar yang terus terbang tinggi membawa harapan dan tanggungjawab besar, menyelamatkan nyawa.
Tabik hormat dari kami, TW Media buat pasukan udara Maritim Malaysia, penjaga langit dan nyawa di MalaysianGP 2025.
Teruskan bersama Two Wheels..!
The post Wira Di Awan : Tribute Buat Anggota Maritim Malaysia Di Sebalik Kegemilangan MalaysianGP appeared first on TW Media.


