SHAH ALAM - Golongan pekerja pembersihan yang menjadi tulang belakang dalam memastikan kebersihan bandar sentiasa terpelihara diraikan dalam Majlis Santunan Ramadan di sini pada Khamis.
Program yang menghimpunkan kira-kira 100 pemandu lori serta kru pembersihan itu dianjurkan oleh Yayasan Amal ASAS dengan kerjasama KDEB Waste Management melalui anak syarikatnya, KDEB ICI Sdn Bhd.
Majlis berkenaan turut mendapat sokongan ILTIZAM by Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan yang saban hari memastikan kebersihan persekitaran negeri Selangor terpelihara.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat KDEB Waste Management, Ahmad Rizal Mohd Daud berkata, majlis tersebut diadakan bagi menghargai jasa pekerja pembersihan yang memainkan peranan penting dalam pengurusan sisa pepejal dan kebersihan bandar.
Menurutnya, kumpulan pekerja itu sering bekerja di belakang tabir walaupun tanggungjawab yang dipikul amat besar kepada kesejahteraan masyarakat.
"Pekerja pembersihan dan pemandu lori sebenarnya adalah wira yang sering tidak kelihatan, namun jasa mereka amat besar dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.
"Program seperti ini adalah tanda penghargaan kepada mereka yang terus berkhidmat tanpa mengira masa dan keadaan, termasuk sepanjang bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.
**media[3461687]**
Ahmad Rizal berkata, majlis itu menghimpunkan kira-kira 100 pekerja pembersihan termasuk pemandu lori dan kelindan yang diraikan melalui pemberian sumbangan sempena Ramadan.
Katanya, inisiatif tersebut juga membuka ruang kepada pihak pengurusan untuk bertemu secara lebih dekat dengan para pekerja yang selama ini memainkan peranan penting di lapangan.
"Kita sendiri jarang berjumpa dengan mereka kerana masing-masing sibuk dengan tugasan harian.
"Apabila ada majlis seperti ini, sekurang-kurangnya kita dapat bertemu dan menyampaikan penghargaan kepada mereka atas segala pengorbanan yang dicurahkan,” katanya.
Beliau berkata, tanpa komitmen pekerja pembersihan, pengurusan sisa pepejal tidak dapat dilaksanakan dengan baik sekali gus boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat.
Tambahnya, majlis berkenaan merupakan penganjuran tahun kedua selepas dimulakan pada tahun lalu dan diharap dapat diteruskan sebagai program tahunan.
"Kita mahu mereka merasakan usaha dan penat lelah yang dilakukan setiap hari dihargai oleh pihak pengurusan dan masyarakat.
"Setiap pekerja dalam organisasi mempunyai peranan masing-masing dan kita melihat semua warga kerja sebagai satu keluarga besar,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif santunan Ramadan itu juga selari dengan usaha berterusan KDEB Waste Management dalam memupuk budaya menghargai pekerja barisan hadapan di samping memperkukuh nilai kebersamaan dan keprihatinan sosial dalam masyarakat.




