LUMUT – Bacaan Surah al-Muzzammil bergema di ruang perpustakaan dalam pusat beli-belah apabila program World #QuranHour anjuran Rumah Ngaji Teluk Muroh diadakan di Perpustakaan Komuniti, AEON Seri Manjung di sini pada Rabu.
Penggerak Rumah Ngaji Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, pemilihan lokasi di dalam pusat beli-belah itu dibuat bagi mendekatkan program al-Quran kepada masyarakat dalam suasana yang lebih terbuka dan mudah diakses.
Menurutnya, perpustakaan komuniti tersebut menyediakan suasana yang kondusif, tenang serta selesa bagi membolehkan peserta memberi tumpuan kepada bacaan dan tadabbur al-Quran.
"Selain itu, lokasinya yang berada di pusat beli-belah memudahkan orang ramai untuk hadir.
"Ini secara tidak langsung memperluaskan jangkauan program Rumah Ngaji kepada masyarakat setempat,” katanya kepada Sinar Harian.
**media[3460284]**
Maziah berkata, penganjuran program itu turut mendapat kerjasama beberapa pihak termasuk tenaga pengajar yang berpengalaman dalam bidang tafsir al-Quran serta Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al Taqwa Lumut.
Katanya, pihak pengurusan pasar raya tersebut turut memberikan kerjasama dengan menyediakan kemudahan lokasi bagi memastikan kelancaran program berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, penghayatan Surah al-Muzzammil yang menjadi surah pilihan World #QuranHour tahun ini mempunyai mesej penting yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, surah tersebut menekankan kepentingan kesabaran, ketekunan dalam beribadah serta memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT melalui amalan seperti solat malam.
"Selain itu, ia juga mengajar kita supaya bertawakal dan bergantung sepenuhnya kepada Allah terutama ketika berdepan ujian dan cabaran hidup.
"Apabila memahami makna ayat-ayat dalam surah ini, ia mampu membantu seseorang memperbaiki amalan harian, meningkatkan kualiti ibadah serta memberi ketenangan jiwa," katanya.


