KUALA NERUS – Penganjuran World #QuranHour pada 11 Mac ini akan memberi tumpuan khusus kepada penghayatan Surah al-Muzzammil sebagai usaha membina kekuatan jiwa dan karakter masyarakat.
Setiausaha Pertubuhan Rumah Ngaji Negeri Terengganu, Wan Nur Aziemah Wan Mohd Azmi berkata, program yang bertemakan pembinaan hubungan dengan ALLAH SWT itu akan berlangsung di Masjid Bandar Al-Wathiqubillah, di sini bermula jam 10.30 pagi hingga 1 tengah hari.
Menurut beliau, pemilihan Surah Al-Muzzammil bertepatan dengan konteks semasa bagi melahirkan generasi yang mempunyai daya tahan tinggi dan tenang menghadapi cabaran hidup.
"Surah ini menekankan transformasi jiwa yang kukuh, tidak reaktif, serta membina karakter yang bertanggungjawab tanpa bergantung kepada pujian semata-mata.
"Kita mahu masyarakat kembali menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup yang sebenar menerusi tiga elemen utama iaitu membaca (tilawah), memahami (tadabur) dan mengamalkan (tazakkur)," katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas mengenai pemilihan lokasi, Wan Nur Aziemah menjelaskan Masjid Al-Wathiqubillah dipilih kerana kedudukannya yang strategik serta peranannya yang aktif sebagai pusat pembangunan ilmu dan komuniti setempat.
Katanya, kelainan pada tahun ini adalah penekanan yang lebih mendalam terhadap aplikasi praktikal ayat-ayat suci al-Quran agar setiap peserta dapat membawa pulang resolusi peribadi yang jelas.
"Peserta juga akan dibekalkan dengan 'plakad' sebagai nota tadabur. Selain itu, program ini turut melibatkan penyertaan lebih ramai golongan muda melalui pendekatan yang menyentuh hati seperti bacaan bertaranum dan perkongsian kisah para sahabat," ujarnya.
Katanya, setakat ini sambutan diterima amat menggalakkan dengan penyertaan daripada ahli kariah, rangkaian Rumah Ngaji seluruh Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, serta institusi pendidikan berhampiran.
"Program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus, agensi kerajaan, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat.
"Mesej utama kami adalah al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi untuk diterjemahkan dalam kehidupan. Ia adalah solusi menyeluruh kepada krisis nilai dan integriti yang dihadapi masyarakat hari ini," tambah beliau.



