Worldwide Holdings raih pengiktirafan sebagai syarikat terbaik dalam pembangunan teknologi WTE di Malaysia

LocalTechnology
29 Oct 2026 • 1:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Worldwide Holdings raih pengiktirafan sebagai syarikat terbaik dalam pembangunan teknologi WTE di Malaysia Image from: Worldwide Holdings raih pengiktirafan sebagai syarikat terbaik dalam pembangunan teknologi WTE di Malaysia liza29/10/2026 - 13:02 Ketua Pegawai Operasi Alam Sekitar WHB, Danial Liew (tiga dari kiri) mewakili Kumpulan menerima anugerah Pembangun Sisa-kepada-Tenaga Terbaik, diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WHB, Ahmad Zaki Ahmad Zainuddin (kiri) dan Pengurus Besar, Pengurusan Projek, Ir. Mohd Shokri Daud (kanan) semasa majlis yang berlangsung di Hotel Hilton PJ Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt – Worldwide Holdings Bhd (WHB) menerima pengiktirafan sebagai syarikat yang membangunkan Sisa-kepada-Tenaga (WTE) Terbaik pada BusinessToday Industry Choice Awards 2026 yang menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usahanya mentransformasikan sisa kepada sumber bernilai.

 

Pengiktirafan itu mencerminkan keupayaan WHB yang semakin berkembang dalam bidang WTE serta komitmennya untuk memajukan penyelesaian pengurusan sisa moden bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan, memulihkan nilai daripada sisa dan menyokong peralihan ke arah ekonomi rendah karbon serta ekonomi kitaran.

 

Antara pemangkin utama perkembangan WHB dalam bidang WTE ialah kemudahan Sisa-kepada-Tenaga Jeram di Selangor, yang merupakan pembangunan WTE terbesar di Malaysia.

 

Loji pertama itu mula beroperasi secara komersial pada Mei 2026 bagi memproses sisa pepejal perbandaran untuk penjanaan tenaga yang mengurangkan jumlah sisa dihantar ke tapak pelupusan.

 

Selain pembangunan infrastruktur, penglibatan WHB dalam bidang WTE turut menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan dan pengukuhan keupayaan teknikal, di samping membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk membina kepakaran serta pengalaman dalam sektor berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WHB, Ahmad Zaki Ahmad Zainuddin berkata perjalanan syarikat dalam bidang WTE bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan infrastruktur kritikal, malah turut memperkukuh keupayaan tempatan dan memupuk bakat Malaysia dalam sektor tenaga.

 

Beliau berkata pembangunan kepakaran tempatan amat penting bagi memenuhi keperluan untuk memperluas pelaksanaan teknologi WTE di Malaysia.

 

Perkukuh kedudukan dalam sektor WTE

“Anugerah ini mencerminkan perjalanan kami daripada menguruskan sisa kepada mencipta nilai daripadanya. Sebagai pemaju Sisa-kepada-Tenaga terbesar di Malaysia, pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk kami terus melangkah lebih jauh dan mengukuhkan kedudukan Worldwide Holdings sebagai peneraju dalam bidang WTE di Malaysia dan seterusnya di peringkat antarabangsa,” katanya.

 

WHB akan terus memanfaatkan pengalaman dan keupayaannya dalam bidang WTE bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah pengurusan sisa yang lebih mampan dan cekap.

 

Worldwide Holdings Berhad, anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), merupakan konglomerat yang beroperasi dalam sektor alam sekitar, tenaga, hartanah dan peranti perubatan.

 

Syarikat itu merupakan antara peneraju dalam pengurusan sisa pepejal dan penyelesaian alam sekitar, khususnya di Selangor, dengan portfolio merangkumi sembilan bidang utama, termasuk tapak pelupusan sanitari sisa pepejal, tapak pelupusan sisa lengai, rawatan larut resap, stesen pemindahan sisa, pemulihan tapak pelupusan haram, pengurusan gas tapak pelupusan dan WTE.

 

Bermula dalam sektor alam sekitar pada 1995, WHB telah membangunkan pelbagai kemudahan pengurusan sisa di Malaysia, termasuk tapak pelupusan sanitari sisa domestik kejuruteraan pertama dan loji janakuasa gas tapak pelupusan pertama yang mengeksport elektrik ke grid nasional.

 

Dalam sektor tenaga, portfolio kumpulan itu turut merangkumi penjanaan kuasa daripada sumber terma menerusi Loji Janakuasa Pulau Indah serta sumber tenaga boleh baharu, termasuk solar dan hidro. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved