Vertex Material sasar raih sehingga RM1.63 bilion menerusi penyenaraian Nasdaq pertengahan 2027

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 1:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Vertex Material sasar raih sehingga RM1.63 bilion menerusi penyenaraian Nasdaq pertengahan 2027 Image from: Vertex Material sasar raih sehingga RM1.63 bilion menerusi penyenaraian Nasdaq pertengahan 2027 sarah28/10/2026 - 13:53 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Okt - Syarikat teknologi bahan termaju Malaysia, Vertex Material menyasarkan untuk mengumpul antara AS$300 juta hingga AS$400 juta (RM1.22 bilion hingga RM1.63 bilion) menerusi cadangan penyenaraian di Nasdaq, Amerika Syarikat (AS), yang dijangka dilaksanakan antara suku kedua dan ketiga 2027.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chris Lai berkata, syarikat itu kini sedang menyediakan dokumentasi, audit dan pemfailan yang diperlukan bagi tujuan penyenaraian berkenaan, dengan penilaian terkini syarikat dianggarkan hampir AS$6 bilion (RM24.50 bilion).

 

"Kami telah mendapatkan semua khidmat nasihat yang diperlukan untuk penyenaraian Nasdaq dan kini sedang menyediakan audit serta dokumentasi bagi proses pemfailan.

 

"Kami menjangkakan penyenaraian dapat dilaksanakan sekitar pertengahan 2027, iaitu antara suku kedua dan ketiga," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian bersama Sky-Dweller Construction LLC di sini, hari ini.

 

Mengulas mengenai pemilihan Nasdaq berbanding Bursa Malaysia, Lai berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan Vertex Material memanfaatkan insentif yang ditawarkan kerajaan AS, sejajar dengan rancangan syarikat membangunkan kemudahan pengeluaran berskala besar di negara berkenaan.

 

Beliau berkata, penilaian hampir AS$6 bilion (RM24.50 bilion) itu diperoleh selepas syarikat bekerjasama selama beberapa bulan dengan sebuah firma perakaunan utama bagi menyediakan dokumen penilaian, yang menurutnya mengambil kira diskaun sebanyak 50% memandangkan Vertex Material masih merupakan syarikat baharu.

 

Kilang di Arizona disasar mula beroperasi pada 2028

Dalam perkembangan berkaitan, Vertex Material sedang menilai beberapa lokasi di Arizona, AS, bagi pembangunan kemudahan pengeluaran bahan komposit tembaga dengan sasaran kapasiti tahunan sehingga satu juta tan metrik secara berperingkat.

 

Kemudahan itu dijangka memulakan pengeluaran komersial pada 2028, tertakluk kepada pemilihan tapak, pembiayaan dan kelulusan kawal selia.

 

Lai berkata, keutamaan syarikat selepas penyenaraian adalah memastikan kilang di AS disiapkan dan memulakan pembekalan kepada pelanggan kerana operasi berkenaan dijangka menjadi penyumbang utama aliran tunai syarikat.

 

"Matlamat utama kami sekarang adalah memastikan kemudahan di AS disiapkan dan kami dapat memulakan pembekalan kerana di situlah sebahagian besar aliran tunai kami akan dijana," katanya.

 

Beliau berkata, syarikat kemudiannya akan menilai peluang pengembangan ke negara lain, termasuk India, dengan mengambil kira akses kepada sumber tembaga yang merupakan bahan mentah utama pengeluarannya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved