Untung bersih Westports pada FY25 diramal susut dibebabkan perang perdagangan, kata CGS International

LocalBusiness & Finance
29 Apr 2025 • 9:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Westports pada FY25 diramal susut dibebabkan perang perdagangan, kata CGS International

image is not available

29/04/2025 - 09:40

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 April - Untung bersih Westports Holdings Bhd diramal menyusut pada tahun kewangan 2025 (FY25) berikutan perang perdagangan yang dimulakan Amerika Syarikat (AS) yang mungkin menyebabkan penurunan jumlah pengendalian kontena di pelabuhan itu.

CGS International berkata, kumpulan itu juga berkemungkinan berdepan kelewatan selama enam bulan bagi pelaksanaan kenaikan caj pngendalian terminal disebabkan ketidaktentuan makroekonomi.

Firma penyelidikan itu menurunkan unjuran untung bersih teras FY25 syarikat itu sebanyak 9.3% kepada RM811 juta, susulan jangkaan penyusutan 1.4% tahun ke tahun dalam jumlah kontena.

Bagi FY24, keuntungan bersih dicatatkan adalah sebanyak RM898 juta.

Setakat ini, penyusutan jumlah kontena hanya dijangka berlaku selama setahun, walaupun pada tahun 2026, jumlah tersebut dijangka hanya meningkat sedikit sebanyak 3.4% dari tahun ke tahun.

CGS International memberi amaran, jika tarif AS menyebabkan kemelesetan global, jumlah kontena Westports untuk laluan intra-Asia dan Eropah juga boleh terjejas.

Katanya, AS mungkin mengurangkan tarifnya ke atas China daripada 145% kepada sekitar 50% hingga 60%, seperti yang dilaporkan oleh Wall Street Journal. Bagi negara-negara Asia Tenggara pula, mereka mempunyai peluang yang lebih baik untuk mengurangkan tarif AS dengan lebih ketara.

Akhirnya, AS mungkin akan lebih banyak mengimport dari kilang-kilang di Asia Tenggara dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

“Selain itu, jika jurang tarif antara China dan Asia Tenggara kekal luas, kami menjangkakan, dalam tempoh dua hingga tiga tahun, lebih banyak kilang boleh dipindahkan dari China ke Asia Tenggara dan ini boleh membantu meningkatkan jumlah kontena yang dikendalikan oleh Westports dalam jangka sederhana hingga panjang.

“Kami percaya jumlah kontena Westports akan bertambah mulai 2027 dan seterusnya,” katanya. - DagangNews.com

standard