Wujud campur tangan Pejabat PM dalam Program Jana Wibawa

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 5:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Wujud campur tangan Pejabat PM dalam Program Jana Wibawa

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa wujud campur tangan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam Program Jana Wibawa.

Perkara itu dimaklumkan bekas Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan Kementerian Kewangan, Datuk Zamzuri Abdul Aziz yang mendakwa campur tangan itu berlaku sebelum proses penilaian dan perolehan terhadap syarikat-syarikat yang dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Saksi pendakwaan ke-26 itu mengesahkan terdapat penglibatan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam tiga projek membabitkan KCJ Engineering Sdn. Bhd., Sutracom Sdn. Bhd. dan Nepturis Sdn. Bhd. sebelum proses dimulakan, ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

KCJ Engineering ialah syarikat kejuruteraan dan pembinaan yang didakwa menyumbang RM800,000 kepada Bersatu yang dianugerahkan projek pembinaan jalan bagi menghubungkan FELDA Bukit Jalor dengan Gemas, Negeri Sembilan di bawah Program Jana Wibawa secara rundingan terus.

Semalam, Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan Kementerian Kewangan, Datin Rosni Mohd Yusoff memberitahu KCJ Engineering pernah gagal dalam penilaian kontraktor kerana mempunyai projek sakit serta prestasi kerja semasa yang tidak memuaskan sebelum syarikat itu dilantik bagi melaksanakan projek di bawah Program Jana Wibawa.

Pada 6 Julai lalu, bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika memberi keterangan memberitahu beliau telah diberikan satu senarai mengandungi nama 54 syarikat kontraktor daripada Muhyiddin Yassin selepas Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 November 2020.

Senarai nama itu dilampirkan dalam surat ‘Cadangan Pelantikan Lima Puluh Empat (54) Kontraktor Pelaksana Bagi Pelaksanaan Lima Puluh Empat (54) Projek Di Bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) Secara Rundingan Terus (Reka & Bina)’.

Ketika membaca pernyataan saksinya, Zamzuri yang kini merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan menyatakan sekiranya nama-nama syarikat yang menyertai program tersebut tidak datang dari PMO, Jawatankuasa Penilaian Kontraktor kementerian itu tidak akan membuat sebarang penilaian.

“Sekiranya nama KCJ Engineering, Sutracom dan Nepturis tidak dinyatakan dalam surat Perdana Menteri bertarikh 13 November 2020, Jawatankuasa Penilaian Kontraktor tidak akan membuat penilaian terhadap syarikat berkenaan. Ini kerana penilaian hanya dilaksanakan ke atas syarikat yang dicadangkan oleh Pejabat Perdana Menteri.

“Walaupun surat minat daripada syarikat kontraktor boleh dihantar secara terus ke Kementerian Kewangan, Jawatankuasa Penilaian Kontraktor tetap tidak akan membuat penilaian sekiranya tiada minit daripada Pejabat Perdana Menteri. Dalam situasi tersebut, surat minat itu tidak mempunyai sebarang nilai untuk dipertimbangkan dan tidak akan dikemukakan kepada JKR bagi tujuan penyertaan dalam tender pra-kelayakan,” ujar saksi itu.

Ketika ditanya oleh Wan Shaharuddin, siapa yang menandatangani surat daripada PMO itu, Zamzuri menyatakan: “Berdasarkan surat itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.”

Pada peringkat awal, saksi berkenaan dalam penyataan saksinya menyatakan bahawa kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu projek dilaksanakan secara pra-kelayakan atau secara rundingan terus adalah terletak di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan.

“Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan tersebut. Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa, di sisi undang-undang dan peraturan perolehan Kerajaan yang berkuat kuasa untuk mengarahkan supaya sesuatu projek dianugerahkan secara terus kepada mana-mana syarikat tertentu.

“Berkaitan dengan penganugerahan projek Kerajaan, saya menyatakan bahawa bagi projek yang bernilai di bawah RM100 juta, kuasa untuk memuktamadkan pelantikan kontraktor adalah terletak pada Lembaga Perolehan kementerian yang berkaitan.

“Bagi projek yang bernilai melebihi RM100 juta, Lembaga Perolehan kementerian berkenaan akan mengemukakan syor atau keputusan mereka kepada Kementerian Kewangan untuk dimuktamadkan,”ujar Zamzuri.

Saksi itu berkata demikian dalam perbicaraan kes Muhyiddin yang didakwa sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat antaranya Nepturis dan Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Datuk Azman Yusoff.

Sementara itu, sebelum prosiding tamat, Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin sempat bertanya mengenai pertuduhan membabitkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat.

Wan Shaharuddin kemudian menjelaskan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram akan hadir pada prosiding Jumaat ini bagi mengendalikan pertuduhan berkenaan dan pihaknya tidak dapat mengesahkan jumlah saksi yang akan dipanggil. – UTUSAN

The post Wujud campur tangan Pejabat PM dalam Program Jana Wibawa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved