
KUALA LUMPUR - Kejohanan Dunia Warzone 2025 (WWC 2025) akan tetap diteruskan mengikut jadual pada 6 hingga 7 Disember nanti.
Jurucakap penganjur berkata, jualan tiket untuk acara yang bakal diadakan di N9 Arena dekat Nilai, Negeri Sembilan itu juga sudah tersedia untuk peminat sukan tempur.
Menurut beliau, penganjur turut memohon maaf atas segala kekeliruan dan salah faham yang timbul sejak kebelakangan ini.
“Penganjur menzahirkan penghargaan kepada semua pihak media dan masyarakat atas perhatian yang diberikan terhadap acara tersebut
“Kelemahan dalam komunikasi dan promosi awal telah menimbulkan persepsi negatif kepada WWC,” katanya.
Jelas jurucakap itu, WWC mengambil tanggungjawab penuh dan telah melaksanakan langkah segera bagi memperbetulkan keadaan serta memastikan mesej sebenar acara ini difahami dengan jelas.
Katanya, WWC 2025 bukan medan pergaduhan sebaliknya sebuah platform seni tempur profesional yang menekankan nilai disiplin, kawalan diri dan semangat kesukanan.
“Semua kategori pertandingan dijalankan secara tersusun mengikut struktur sukan tempur sah, diselia oleh panel juri dan wasit profesional daripada pelbagai disiplin dengan sistem pemarkahan berpandukan piawaian antarabangsa.
“Bagi memastikan pematuhan kepada undang-undang dan garis panduan sedia ada, pihak penganjur WWC juga telah menghantar surat rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia untuk tujuan pendaftaran,” katanya.
Beliau menarik perhatian, proses permohonan berjalan lancar dan dijangka mendapat kelulusan dalam masa terdekat.
“Siri perbincangan bersama agensi berkaitan dan pihak keselamatan tempatan turut diadakan bagi memastikan setiap aspek penganjuran berjalan mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan.
“WWC ingin menzahirkan terima kasih atas keprihatinan Kementerian Belia dan Sukan serta pihak berkuasa lain yang terbabit,” katanya.
Tegas jurucakap itu, keselamatan peserta dan penonton sentiasa menjadi keutamaan penganjur.
“Langkah-langkah keselamatan termasuk pemeriksaan kesihatan wajib bagi peserta, kehadiran pasukan paramedik di lokasi, kawalan keselamatan di pintu masuk serta pelaksanaan Protokol Sukan Selamat (Safe Sport Protocol) bagi melindungi semua yang terlibat telah disusun rapi.
“Fokus Warzone adalah untuk membentuk jati diri dan semangat kesukanan, bukan kekerasan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, penganjur WWC perlu menunggu sekitar 30 hari untuk mengetahui status kelulusan kejohanan berkenaan.
Katanya, tiada keistimewaan khas akan diberikan kepada mereka walaupun kejohanan tersebut telah tular di media sosial.
"Kita akan proses permohonan mereka dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan meneliti insurans dan permit. Untuk badan sukan kebangsaan pula, mereka akan meneliti atlet-atlet yang datang, sama ada mereka ini ada latihan atau tidak," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Emas Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini. - Getaran, 8 November 2025

