X-Miles, Chery perkenal trak makanan elektrik pertama Malaysia

LocalCars
5 Nov 2026 • 5:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

X-Miles, Chery perkenal trak makanan elektrik pertama Malaysia Image from: X-Miles, Chery perkenal trak makanan elektrik pertama Malaysia liza05/11/2026 - 17:19 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Nov – Malaysia memperkenalkan trak makanan elektrik pertama yang menggabungkan teknologi kenderaan elektrik dengan kemudahan dapur komersial sebagai alternatif baharu kepada pengusaha makanan dan minuman (F&B) untuk memperluaskan perniagaan secara lebih fleksibel.

 

Trak berkenaan diperkenalkan menerusi Taste & Trade 360 (TT360) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini untuk membantu pengusaha F&B dalam berdepan peningkatan kos operasi, kekangan tenaga kerja dan perubahan corak perbelanjaan pengguna.

 

Dikuasakan oleh X-Miles, trak berkenaan diperkenalkan menerusi kerjasama dengan syarikat automotif China, Chery yang turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama berkenaan.

 

Konsep itu mengetengahkan sebuah premis makanan bergerak yang dilengkapi ruang dapur komersial, membolehkan pengusaha menjalankan perniagaan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada premis perniagaan tetap.

 

Kurangkan kebergantungan kepada generator bahan api

Antara kelebihan utama trak berkenaan ialah penggunaan sistem elektrik yang boleh membekalkan tenaga kepada lampu serta beberapa peralatan terpilih di dalam kenderaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada generator konvensional yang menggunakan bahan api.

 

Pendekatan itu membolehkan operasi perniagaan makanan bergerak memanfaatkan bekalan elektrik daripada sistem kenderaan, selain menawarkan operasi yang lebih senyap tanpa pelepasan ekzos daripada enjin pembakaran ketika kenderaan beroperasi menggunakan kuasa bateri.

 

Selain itu, konsep berkenaan turut menggabungkan pemilihan kenderaan elektrik, reka bentuk dapur, kerja fabrikasi ruang penyediaan makanan serta pemasangan peralatan sebelum diserahkan kepada pengusaha untuk digunakan.

 

Bagaimanapun, butiran mengenai harga, kapasiti bateri, jarak perjalanan dan tarikh penawaran komersial trak berkenaan belum didedahkan.

 

Boleh uji pasaran sebelum buka premis tetap

Dari sudut perniagaan, penggunaan trak makanan EV itu bukan sahaja membolehkan pengusaha membawa produk makanan ke lokasi berbeza, malah menyediakan ruang untuk menguji penerimaan pelanggan sebelum membuat keputusan membuka cawangan atau premis tetap.

 

Sementara itu, wakil Hock Kee Kopitiam, Nick Ng berkata, penggunaan trak makanan elektrik itu memberikan peluang kepada pihaknya memperluas capaian pelanggan dengan membawa hidangan tempatan seperti nasi lemak, laksa dan nasi ayam ke lokasi yang lebih luas.

 

Menurutnya, pendekatan berkenaan membolehkan pengusaha mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai penerimaan pasaran di sesuatu kawasan sebelum mempertimbangkan pengembangan perniagaan.

 

Beliau berkata, fleksibiliti untuk bergerak ke pelbagai lokasi juga memberi peluang kepada pengusaha memperkenalkan makanan tempatan kepada lebih ramai pelanggan tanpa perlu membuat komitmen awal untuk membuka premis baharu.

 

Teknologi semakin penting kepada industri F&B

Ketua Pegawai Eksekutif Ping Edge Sdn Bhd, Ethan Choong berkata, pengusaha F&B kini perlu menilai semula kaedah operasi perniagaan masing-masing susulan peningkatan kos, cabaran mendapatkan pekerja serta perubahan jangkaan pengguna.

 

Katanya, penggunaan teknologi bukan lagi sekadar pilihan untuk masa depan, sebaliknya semakin menjadi keperluan bagi memastikan perniagaan kekal berdaya saing.

 

Menerusi TT360 2026, penganjur mahu menyediakan platform kepada usahawan dan pemain industri untuk meneroka penyelesaian praktikal, mengenal pasti peluang baharu serta menjalinkan kerjasama dengan rakan perniagaan.

 

Pameran perdagangan selama tiga hari dari 5 hingga 7 November itu menampilkan 260 reruai yang membabitkan pembekal tempatan dan antarabangsa, merangkumi peralatan dapur komersial, bahan ramuan makanan, reka bentuk dapur, perkhidmatan pensijilan dan teknologi peruncitan.

 

Antara negara yang menyertai pameran berkenaan ialah China, Korea Selatan, Jepun, Singapura dan Itali, sekali gus menyediakan ruang kepada pemain industri tempatan mendapatkan akses kepada produk, teknologi serta rangkaian pembekal antarabangsa. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved