amree04/11/2026 - 16:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov — Restoran makanan segera (QSR) dari Indonesia, Se’Indonesia melebarkan sayap ke pasaran Malaysia menerusi pembukaan cawangan pertama di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya sekali gus menandakan langkah pengembangan antarabangsa pertama jenama berkenaan.
Kemasukan ke negara ini disokong kajian pengguna tempatan dijalankan bersama firma penyelidikan pasaran, Central Force Insights, bagi memahami cita rasa, keutamaan, jangkaan harga serta tingkah laku pelanggan sebelum memperkenalkan hidangan daging salai tradisional Indonesia atau se’i.
Menurutnya dalam kenyataan, kajian tersebut yang melibatkan seramai 291 peserta itu mendapati kira-kira 55% menyatakan kecenderungan tinggi untuk menjamu selera di Se’Indonesia, dengan memberikan skor kemungkinan untuk mencuba sebanyak lapan atau lebih daripada 10.
"Dari segi penerimaan produk QSR, sebanyak 72.7% peserta memilih menu ayam se’i asli, manakala 71.5% memberikan keutamaan kepada daging lembu se’i asli, menunjukkan maklum balas positif terhadap hidangan utama yang menjadi identiti jenama berkenaan," kata Central Force.
Menurut firma berkenaan lagi, kajian tersebut turut mengenal pasti rasa, kemampuan harga, kemudahan mendapatkan makanan dan kepelbagaian menu sebagai antara faktor penting yang mempengaruhi keputusan pembelian pengguna domestik di pasaran Malaysia.
Kajian kumpulan fokus dan ujian rasa tempatan turut memberikan gambaran mengenai pilihan pelanggan terhadap hidangan nasi serta tahap kepedasan, sekali gus membantu Se’Indonesia menilai penyesuaian menu tanpa mengetepikan identiti asal masakan Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif Central Force Insights, See Toh Wai Yu berkata, hasil kajian memberikan pemahaman lebih jelas mengenai perkara yang dihargai pengguna Malaysia serta aspek yang boleh dipertingkatkan bagi mengukuhkan daya tarikan jenama itu di pasaran tempatan.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Se’Indonesia, Rinaldi Dharma Utama pula berkata, Malaysia menawarkan banyak peluang pengembangan yang menarik, namun kejayaan jenama itu di Indonesia tidak semestinya menjamin penerimaan sama di pasaran lain.
"Ditubuhkan pada 2022, Se’Indonesia kini mempunyai sejumlah lebih 300 cawangan di 144 bandar dan 25 wilayah di Indonesia, selain telah menyajikan lebih 100 juta hidangan. Jenama itu turut disenaraikan dalam Forbes Asia 100 to Watch 2025," jelas beliau.
Pada April 2025, Se’Indonesia memperoleh pembiayaan Siri A berjumlah AS$9.7 juta yang diterajui Insignia Ventures Partners bagi menyokong pertumbuhan perniagaan. Rinaldi dan Christian Wilfandio turut disenaraikan dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2026 bagi kategori Retail & Ecommerce.
Selepas pembukaan di 1 Utama, Se’Indonesia merancang membuka cawangan seterusnya di The Capitol sebagai sebahagian daripada usaha memperluas kehadiran jenama itu dan memperkenalkan hidangan daging salai Indonesia kepada lebih ramai pengguna Malaysia. - DagangNews.com






