xAI setakat ini hanya menawarkan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) Grok yang boleh menjana cerita dan juga menghasilkan imej. Ciri yang boleh dikatakan tidak ada uniknya jika dibandingkan dengan Gemini, dan ChatGPT. Semalam Elon Musk mendedahkan seterusnya xAI akan membuka pula sebuah studio permainan video yang menggunakan AI.
Too many game studios that are owned by massive corporations. @xAI is going to start an AI game studio to make games great again! https://t.co/UR4nFODyfd
Ini menurut Musk ialah bagi mengembalikan semua zaman kegemilangan permainan video. xAI akan menjadi syarikat kedua selepas Netflix yang akan membuka sebuah studio permainan video menggunakan AI. Penggunaan AI dalam permainan video ialah isu sensitif yang menjadi perdebatan di kalangan pemain industri.
Tahun ini ribuan pekerja dibuang oleh studio dan penggunaan AI dilihat akan menyebabkan semakin ramai akan hilang mata pencarian. Pelakon asli dan pelakon suara permainan video di bawah SAG-AFTRA telahpun mogok meminta supaya hak mereka dipelihara dan tidak diambil alih oleh AI.
Setakat ini masih tiada permainan video AAA yang dibangunkan sepenuhnya menggunakan AI. Beberapa demo yang dihasilkan sebelum ini hanyalah sekadar permainan asal untuk telefon mudah alih. Tetapi dengan xAI menerima dana berbilion Dolar serta antara pemilik kluster komputer AI terbesar dunia, pasti ramai yang ingin melihat sama ada pelaburan Elon dapat menghasilkan permainan video AAA sebaik yang dihasilkan sepenuhnya oleh manusia.

