
Sejak beberapa bulan lalu Xbox Full Screen Experience (FSE) telah ditawarkan kepada PC dan konsol mudah alih seperti ROG Xbox Ally. Ia memberikan pengalaman antaramuka konsol Xbox pada sebuah PC Windows 11. Di GDC awal pagi tadi, Microsoft mengumumkan FSE akan dilancarkan sebagai Xbox Mode pada bulan April ini.
Menerusi Xbox Mode, komputer Windows 11 akan dilancarkan terus ke antaramuka konsol Xbox. Dengan ini RAM sehingga 2GB dapat dijimatkan kerana hanya sistem yang diperlukan untuk mod permainan Xbox sahaja dilancarkan. Xbox Mode direka untuk diakses dan dikawal menggunakan alat kawalan permainan dengan pengguna tidak perlu memasang tetikus atau papan kekunci.

Terdapat beberapa skrin untuk stor permainan, permainan yang dipasang, Game Pass dan stor permainan pihak ketiga. Tekan sahaja satu butang dan permainan akan dilancarkan pantas seperti Xbox. Selepas tamat sesi permainan, pemilik boleh menekan butang Windows+Tab untuk melancarkan desktop WIndows. Ini dilakukan tanpa PC perlu dihidupkan semula.
Ini ialah visi masa depan gaming pada Windows 11 dengan ia memberikan pandangan masa depan Project Helix yang diumumkan minggu lalu. Mengenai Project Helix pula, Microsoft mengesahkan ia menggunakan cip AMD dan kit pembangunan Alpha akan dihantar kepada studio pembangun pada tahun 2027.
Menarik mengenai Projek Helix ialah penggunaan Game Development Kit (GDK) yang membolehkan pembangun menghasilkan permainan video untuk PC dan Xbox secara serentak. Ini akan mengurangkan masa pembangunan yang lebih penting sekali kos. GDK juga memudahkan proses permainan lama daripada konsol Xbox Series X/S untuk dimainkan pada konsol masa depan menerusi ciri keserasian ke belakang.


