
MacBook Neo dilancarkan seminggu lalu pada harga yang kami sendiri rasakan tidak masuk akal kerana versi paling mahal sekalipun masih lebih murah berbanding iPhone 17e yang paling murah. CEO bersama ASUS S.Y. Hsu telah dipetik mengatakan MacBook Neo ialah satu kejutan kepada industri PC Windows. Ini adalah kerana selama ini Apple menawarkan komputer riba dalam segmen premium sahaja. Penawaran MacBook Neo pada harga rahmah adalah sesuatu yang tidak dijangka.

Hsu turut berkata semua pemain utama dalam industri PC seperti Microsoft, Intel, AMD, dan pengeluar PC lain sedang membincangkan strategi untuk bersaing dengan MacBook Neo. Sukar untuk bersaing kerana harga RAM yang semakin meningkat disebabkan kekurangan bekalan dengan ia hanya dijangka berakhir 2028.
Sungguhpun begitu beliau masih merasakan MacBook Neo mempunyai kelemahan kerana hanya dilengkapi 8GB RAM yang tidak boleh dinaik taraf sendiri oleh pemilik. MacBook Neo juga disifatkan sebagai peranti menikmati kandungan dan bukan komputer riba arus perdana untuk tugasan yang lebih berat.


