Xiaomi 18 Pro & 18 Pro Max dilancar dengan paparan ‘Privacy Display’, Snapdragon 8 Elite Gen 6

TechnologyDigital
24 Sep 2026 • 5:09 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

Xiaomi 18 Pro & 18 Pro Max dilancar dengan paparan ‘Privacy Display’, Snapdragon 8 Elite Gen 6

Baru sahaja beberapa minggu lepas Xiaomi memperkenalkan telefon lipat Xioami 18 Fold. Kini, mereka mengumumkan pula dua model flagship terbaharu, iaitu Xiaomi 18 Pro dan Xiaomi 18 Pro Max.

Kedua-dua telefon ini tiba selepas setahun siri Xiaomi 17 diperkenalkan, dengan pelbagai naik taraf dari segi perkakasan. Antaranya termasuk ciri Privacy Display pada skrin utama, cip Snapdragon 8 Elite Gen 6 serta skrin kedua di bahagian belakang.

Namun begitu, kali ini Xiaomi tidak memperkenalkan model Xiaomi 18 standard.

Berita baiknya, Xiaomi Malaysia turut mengesahkan bahawa siri Xiaomi 18 Pro bakal tiba di pasaran tempatan tahun ini.

Spesifikasi Xiaomi 18 Pro

Xiaomi 18 Pro masih mengekalkan saiz kompak seperti generasi terdahulu. Namun, saiz skrinnya kini sedikit besar, iaitu 6.4″ berbanding 6.3″ pada Xiaomi 17 Pro.

Ia menggunakan panel OLED beresolusi Full HD+ dengan kadar segar semula adaptif sehingga 120Hz. Skrin ini juga menyokong kecerahan puncak sehingga 4,000 nits.

Selain skrin lebih besar, Xiaomi 18 Pro turut hadir dengan ciri Privacy Display yang mengehadkan kebolehlihatan kandungan skrin apabila dipandang dari sudut sisi. Ciri ini menggunakan teknologi pada peringkat perkakasan, sama seperti yang diperkenalkan pada Samsung Galaxy S26 Ultra.

Pengguna boleh menetapkan tahap privasi paparan mengikut keperluan, termasuk untuk aplikasi tertentu, notifikasi, tetingkap terapung dan paparan multitugas.

Xiaomi 18 Pro juga masih mengekalkan skrin kedua di bahagian belakang, menggunakan panel OLED berukuran 2.7 inci dengan resolusi 912 x 596 piksel, kadar segar semula sehingga 120Hz dan kecerahan puncak 4,000 nits.

Skrin ini boleh digunakan untuk memaparkan notifikasi dan maklumat tertentu. Ia turut menyokong lebih daripada 100 kad aplikasi ketika pelancaran, selain kandungan yang dijana menggunakan AI.

Dari segi prestasi, Xiaomi 18 Pro dikuasakan cip flagship terbaharu Qualcomm, Snapdragon 8 Elite Gen 6, yang dibina menggunakan proses 2nm. Cip ini menggunakan CPU Oryon dengan kelajuan sehingga 5GHz.

Ia ditawarkan dengan pilihan RAM LPDDR5X 12GB atau 16GB, bersama storan UFS 4.1 berkapasiti 256GB, 512GB atau 1TB.

Untuk fotografi, Xiaomi 18 Pro menggunakan sistem tiga kamera belakang yang dibangunkan bersama Leica. Menariknya, kamera utama dan telefoto kini masing-masing menggunakan sensor 200MP, berbanding 50MP pada generasi sebelumnya.

Kamera utama menggunakan sensor 200MP berukuran 1/1.28 inci dengan apertur f/1.67 dan sokongan penstabilan imej optikal (OIS).

Ia dipadankan dengan kamera telefoto periskop 200MP yang menggunakan sensor 1/1.56 inci, apertur f/2.4 dan OIS. Kamera telefoto ini mempunyai jarak fokal 75mm, bersamaan zum optikal sekitar 3.2x, serta menyokong fotografi jarak dekat pada jarak fokus minimum 12cm.

Selain itu, terdapat kamera ultra lebar Leica 50MP, manakala kamera hadapan untuk swafoto menggunakan sensor 50MP.

Kapasiti bateri juga dipertingkat daripada 6,300mAh kepada 7,000mAh, dengan kandungan silikon sebanyak 32%. Walaupun bateri lebih besar, kelajuan pengecasan masih sama, iaitu 100W secara berwayar dan 50W secara wayarles.

Telefon ini turut mempunyai ketahanan habuk dan air dengan penarafan IP66, IP68 dan IP69, sokongan sambungan Ultra-Wideband (UWB) serta sistem pembesar suara stereo.

Dari segi perisian, Xiaomi 18 Pro menjalankan HyperOS 4. Untuk pilihan warna di China, Xiaomi 18 Pro ditawarkan dalam hitam, putih, merah jambu dan biru. Terdapat juga edisi lutsinar berwarna merah.

Spesifikasi Xiaomi 18 Pro Max

Bagi Xiaomi 18 Pro Max, ia hadir sebagai model tertinggi dalam siri ini dengan cip lebih berkuasa, selain skrin dan bateri yang lebih besar.

Ia dilengkapi skrin LTPO OLED berukuran 6.9 inci dengan resolusi 2,624 x 1,208 piksel dan kadar segar semula sehingga 120Hz. Skrin ini turut mempunyai kecerahan puncak sehingga 4,000 nits serta ciri Privacy Display pada peringkat perkakasan.

Skrin sekunder di bahagian belakang juga lebih besar, iaitu 2.9 inci dengan resolusi 976 x 596 piksel dan kadar segar semula sehingga 120Hz. Seperti Xiaomi 18 Pro, skrin belakang ini menyokong kad aplikasi dan kandungan yang dijana menggunakan AI.

Untuk prestasi, Xiaomi 18 Pro Max dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 yang turut dibina menggunakan proses 2nm. Ia ditawarkan dengan RAM LPDDR5X 12GB atau 16GB serta storan UFS 4.1 sehingga 1TB.

Dari segi fotografi, Xiaomi 18 Pro Max menggunakan sistem tiga kamera belakang Leica yang sama seperti model Pro. Ini termasuk kamera utama 200MP dengan sensor 1/1.28 inci, apertur f/1.67 dan OIS, serta kamera telefoto periskop 200MP dengan sensor 1/1.56 inci yang menyokong zum optikal 3.2x.

Ia turut mempunyai kamera ultra lebar 50MP dan kamera swafoto 50MP di bahagian hadapan.

Satu lagi kelebihan Xiaomi 18 Pro Max ialah baterinya yang lebih besar, berkapasiti 8,500mAh. Ini merupakan peningkatan daripada bateri 7,500mAh pada Xiaomi 17 Pro Max.

Ia turut menyokong pengecasan pantas berwayar 100W dan pengecasan wayarles 50W.

Berbeza daripada model Pro, Xiaomi 18 Pro Max menggunakan sistem tiga pembesar suara, terdiri daripada dua pembesar suara yang menghala ke bawah dan satu di bahagian atas.

Ciri lain termasuk sokongan UWB, pengimbas cap jari ultrasonik dalam skrin serta sistem operasi HyperOS 4.

Xiaomi 18 Pro Max ditawarkan dalam warna hitam, putih, merah jambu dan biru di China, selain edisi lutsinar berwarna merah.

Harga Xiaomi 18 Pro dan Xiaomi 18 Pro Max di China

Di China, Xiaomi 18 Pro dijual pada harga bermula CNY5,999, manakala Xiaomi 18 Pro Max bermula CNY6,999. Berikut ialah senarai harga mengikut konfigurasi RAM dan storan:

Xiaomi 18 Pro

  • 12GB + 256GB – CNY5,999 (~RM3,647)
  • 12GB + 512GB – CNY6,999 (~RM4,255)
  • 16GB + 512GB – CNY7,999 (~RM4,863)
  • 16GB + 1TB – CNY8,999 (~RM5,471)
  • 16GB + 1TB Transparent Edition – CNY9,999 (~ RM6,078)

Xiaomi 18 Pro Max

  • 12GB + 256GB – CNY6,999 (~RM4,255)
  • 12GB + 512GB – CNY7,999 (~RM4,863)
  • 16GB + 512GB – CNY8,999 (~RM5,471)
  • 16GB + 1TB – CNY9,999 (~RM6,078)
  • 16GB + 1TB Transparent Edition – CNY10,999 (~RM6,686)

Xiaomi Malaysia telah mengesahkan bahawa siri Xiaomi 18 Pro akan dilancarkan di Malaysia tahun ini, namun tarikh pelancaran dan harga rasmi tempatan masih belum diumumkan.

Sebagai perbandingan, Xiaomi tidak membawa Xiaomi 17 Pro dan Xiaomi 17 Pro Max ke Malaysia sebelum ini. Sebaliknya, pengguna tempatan menerima Xiaomi 17 dan Xiaomi 17 Ultra yang dilancarkan pada Mac 2026.

Memandangkan kekurangan bekalan RAM dan storan ketika ini, harga siri Xiaomi 18 Pro di Malaysia dijangka bermula pada lebih RM4,000. Sebagai rujukan, Xiaomi 17 dengan RAM 12GB dan storan 512GB dilancarkan di Malaysia pada harga RM3,799.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved