
Xiaomi 18 Pro Max dan Xiaomi 18 Pro kini rasmi ditawarkan di Malaysia selepas pelancaran global semalam. Kedua-dua peranti ini hadir dengan skrin sekunder, cip Snapdragon terkini serta pelbagai ciri AI baharu.

Xiaomi 18 Pro Max hadir dengan skrin utama Xiaomi Privacy Display 6.9″ serta skrin AMOLED sekunder 2.9″ di bahagian belakang. Ini dipadankan dengan cip Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6, memori sehingga 16GB RAM dan storan sehingga 512GB.
Sistem kamera Leica Summilux yang digunakan pula merangkumi sensor utama 200MP, telefoto 200MP dan ultra lebar 50MP, diikuti kamera hadapan 50MP untuk swafoto dan panggilan video. Bateri Xiaomi Silicon-Carbon berkapasiti 7,050mAh turut digunakan dengan sokongan pengecasan berwayar 100W serta nirwayar 50W.



Xiaomi 18 Pro dilengkapi skrin OLED LTPO 6.4″ 120Hz bersama skrin sekunder AMOLED 2.7″ pada bahagian belakang. Ia dijana cip Snapdragon 8 Elite Gen 6 dengan memori 12GB RAM dan storan dalaman 512GB serta menjalankan HyperOS 4 berasaskan Android 17. Xiaomi turut mengekalkan sistem kamera yang sama seperti model Pro Max manakala bateri 6,000mAh yang digunakan menyokong pengecasan berwayar 90W dan nirwayar 50W


Sorotan utama kedua-dua peranti ini ialah skrin sekunder di belakang yang boleh digunakan until paparan notifikasi, swafoto serta membolehkan pengguna menghasilkan aplikasi mini menerusi arahan AI. Xiaomi turut menyertakan ciri Privacy Mode bagi membantu melindungi kandungan sensitif ketika digunakan di tempat awam.



Bagi yang berminat, Xiaomi 18 Pro ditawarkan pada harga bermula RM4,799 untuk varian 12GB + 256GB dan RM5,299 bagi varian 12GB + 512GB. Sementara itu, Xiaomi 18 Pro Max dijual pada harga bermula RM5,999 untuk varian 12GB + 256GB dan RM6,499 bagi varian 12GB + 512GB. Sepanjang tempoh promosi, Xiaomi turut menawarkan rebat sehingga RM500 serta hadiah percuma bernilai sehingga RM4,598 dengan setiap pembelian yang layak.





