
Xiaomi turut memperkenalkan Ear-Clip Earbuds semalam sebagai fon telinga nirwayar berbentuk subang pertama mereka. Ia menggabungkan elemen rekaan yang ringan dan selesa sekali gus membolehkan pengguna memakainya untuk tempoh lama tanpa rasa bebanan.

Fon telinga ini hadir dengan pemandu audio 11mm dan setiap unit hanya seberat 5.5 gram untuk menjadikannya mudah dipakai sepanjang hari. Selain itu, ia menyokong integrasi dengan pembantu suara Xiao Ai yang menawarkan fungsi terjemahan terus pada peranti serta rakaman suara. Dalam masa sama, teknologi anti-bocor bunyi berasaskan gelombang bunyi berbalik digunakan bagi mengurangkan kebocoran audio ketika mendengar muzik atau menerima panggilan.


Dari segi ketahanan, fon telinga ini mampu bertahan sehingga 9 jam penggunaan berterusan, manakala dengan bekas pengecas ia boleh mencapai sehingga 38 jam. Ia turut menyokong rangkaian Apple Find My, sekali gus memudahkan pencarian sekiranya hilang dan menjadikannya serasi digunakan dengan peranti Apple. Tidak ketinggalan, Xiaomi Ear-Clip Earbuds hadir dengan perlindungan IP57 yang memastikan ia tahan terhadap percikan air.



