Sudah bertahun lamanya trend modifikasi sistem operasi peranti Android tidak popular. Saya sedari, sejak sistem sekuriti Android diketatkan dengan menggunakan sistem storan partition A/B. Akan datang, aktiviti root peranti, memasang custom ROM dan melakukan modifikasi sistem operasi lain mungkin tidak lagi boleh dilakukan.

Xiaomi baru-baru ini mengubah polisi kebenaran untuk menyahkunci bootloader peranti. Ia kini semakin ketat, semakin sukar dan tidak semua pengguna boleh mendapatkan akses. Alasan Xiaomi adalah untuk memastikan sekuriti peranti terjamin dan tiada yang menyalahgunakan untuk aktiviti jenayah. Polisi ini walau bagaimanapun tidak akan terkesan kepada majoriti pengguna biasa dan hanya akan terkesan kepada para pembangun aplikasi, pembangun custom ROM atau pengguna yang bergelar sebagai power user.

Perkara ini turut berkemungkinan besar boleh menghalang daripada wujudnya sistem operasi global palsu yang kerap berlaku pada MIUI suatu ketika dahulu. Untuk mendapatkan akses menyahkunci peranti Xiaomi pengguna kini perlu;
- Menjawab soalan kuiz.
- Mendaftar minat sementara Xiaomi mengesahkan identiti dan kelayakan.
- Wajib mempunyai kad SIM dalam peranti dengan akaun Xiaomi yang aktif.
- Hanya satu peranti setiap tahun.
- Mempunyai punyai tempoh 14 hari untuk melengkapkan semua proses.
- Tidak akan layak menerima kemas kini rasmi Xiaomi.
Perkara ini turut mungkin akan memberi kesan kepada pembangun Xiaomi.eu iaitu komuniti yang pakar dalam mengubah HyperOS versi China menjadi versi global dengan sokongan kemas kini atas udara. Adakah anda pengguna yang gemar melakukan aktiviti custom ROM atau root peranti dan kecewa dengan keputusan Xiaomi? Sila kongsi pendapat anda di ruangan komen.
