Xiaomi MIX Flip akhirnya disahkan sendiri oleh wakil Xiaomi akan ditawarkan untuk pasaran global. MIX Flip adalah fon katup pertama Xiaomi yang dilancarkan bersama-sama dengan MIX Fold 4. MIX Flip menawarkan skrin luar gergasi 4.01-inci, skrin dalam 6.5-inci, dijana Snapdragon 8 Gen 3 dan dwi kamera 50MP.

Fon katup dengan Xiaomi HyperOS ini turut memuatkan bateri 4780mAh dengan pengecasan pantas 67W. Skrin luar turut menyokong semua aplikasi dan ciri AI generatif turut disertakan. MIX Flip untuk pasaran global akan dijual di lima negara Eropah Tengah dan Timur Eropah, salah satu negara luar China terawal adalah Bulgaria. Ia akan dijual pada harga лв2500 iaitu sekitar RM6,720 dan dikhabarkan adalah untuk variasi 12/512 GB.
MIX Flip dijual di Bulgaria terlebih dahulu kerana negara tersebut mempunyai permintaan peranti premium Xiaomi meningkat sehingga 63%. Buat masa ini masih tiada khabar jika MIX Flip akan dijual di luar China dan Eropah. Sama-sama kita nantikan.
