Xiaomi SkyNomad N90 Max dan Xiaomi SkyNomad N70 Max telah dilancarkan di China semalam dengan ia adalah EREV pertama keluaran mereka di bawah jenama SkyNomad. Seperti yang telah diumumkan Lei Jun bulan lalu, SkyNomad digunakan pada kenderaan elektrik SUV jarak dilanjutkan dengan bantuan enjin petrol terbina, mementingkan kemewahan, keselesaan dan mempunyai ruang membawa sehingga 7 penumpang. Ia berbeza dengan EV Xiaomi yang mementingkan prestasi tinggi.

Xiaomi SkyNomad N90 Max ialah model paling premium dengan kabin boleh menempatkan sehingga 7 orang penumpang. Pembeli bebas mengubah konfigurasi kabin dengan ia boleh diubah menjadi pejabat, bilik mesyuarat, ruang tidur semasa berkelah atau membawa sebanyak mungkin kargo. Xiaomi SkyNomad N70 Max pula ialah model dengan tubuh yang lebih pendek untuk membawa sehingga 5 penumpang sahaja.

Pintu boleh dibuka sendiri menggunakan arahan suara dengan terdapat sensor 360 darjah mengelakkan ia berlanggar semasa dibuka. Terdapat sistem mengelakkan ia dibuka secara tidak sengaja serta penggera amaran. Pintu belakang boleh dibuka sehingga 90 darjah bagi memudahkan keluar masuk penumpang dan barang.

Ia memenuhi keperluan kerajaan China yang mewajibkan sistem membuka pintu mekanikal di luar serta dalam termasuk untuk pintu belakang. Dalam situasi kecemasan bekalan elektrik terputus, penumpang masih boleh keluar dengan selamat.

Kerusi diperbuat daripada bahan yang menjadikannya selesa untuk diduduki penumpang lengkap dengan mesin urut, sistem penyejuk dan pemanasan terbina. Terdapat juga peti sejuk 9 liter, skrin besar di hadapan, skrin besar untuk penumpang di siling, port pengecasan dan pelbagai cagak tambahan untuk aksesori seperti meja, tablet dan pelbagai lagi kelengkapan ekosistem Xiaomi.

Xiaomi SkyNomad N90 Max mempunyai jarak perjalanan bateri sehingga 464 km CLTC dan Xiaomi SkyNomad N70 Max pula sehingga 505 km CLTC. Dengan tangki bahan api penuh, jarak meningkat sehingga 1,705 km pada N90 Max. Penggunaan bateri adalah serendah 15.85 kWh/100 km dan bahan api pula serendah 6.26 L/100 km.
Kedua-dua kenderaan sudah boleh dipratempah di China. Xiaomi SkyNomad N90 Max pada harga RMB 299,900 (~RM 181,469) dan Xiaomi SkyNomad N70 Max pula pada harga RMB 259,900 (~RM 157,265) sebuah.




