Xiaomi Smart Band 10 Pro Boleh Didapati Di Malaysia Pada Harga RM399

LocalTechnology
28 May 2026 • 10:49 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Xiaomi Smart Band 10 Pro Boleh Didapati Di Malaysia Pada Harga RM399

Xiaomi Smart Band 10 Pro kini rasmi dijual di Malaysia. Penjejak kecergasan mesra bajet ini hadir dengan paparan AMOLED lebih terang, pemantauan kesihatan yang lebih tepat, ciri penjejakan baharu, fungsi menerima notifikasi daripada dua telefon serentak, serta bateri yang mampu bertahan sehingga 21 hari.

Image from: Xiaomi Smart Band 10 Pro Boleh Didapati Di Malaysia Pada Harga RM399

Model kali ini dilihat semakin menghampiri spesifikasi seutas jam pintar dengan beberapa penambahbaikan utama. Ia menawarkan kecerahan paparan sehingga 2,000 nits sambil mengekalkan skrin AMOLED 1.74 inci seperti generasi sebelumnya. Rekaannya lebih kompak dengan ketebalan hanya 9.7mm dan berat 21.6 gram tanpa tali bagi menjadikannya ringan serta selesa dipakai.

Ia juga dilengkapi dengan sensor PPG baharu untuk kadar denyutan lebih tepat. Fungsi HRV monitoring pula membolehkan analisis tidur yang lebih menyeluruh. Selain itu, algoritma tidur 2.0 memberikan peningkatan ketepatan sebanyak 11–14% berbanding generasi sebelumnya.

Image from: Xiaomi Smart Band 10 Pro Boleh Didapati Di Malaysia Pada Harga RM399

Xiaomi turut bekerjasama dengan organisasi profesional seperti World Sleep Society, Asian Society of Sleep Medicine, dan Chinese Sleep Research Society. Melalui kerjasama ini, hadir pula pelan peningkatan tidur yang memberikan cadangan berdasarkan data, termasuk aspek senaman, diet dan rutin harian.

Image from: Xiaomi Smart Band 10 Pro Boleh Didapati Di Malaysia Pada Harga RM399

Terdapat juga lebih 150 mod sukan dengan pemantauan profesional. Ia menyokong underwater heart rate monitoring untuk data berenang yang lebih tepat, serta mempunyai ketahanan air 5ATM (sehingga 50 meter). Dalam masa sama, terdapat Track Mode dengan sokongan GNSS lima satelit dan pembetulan trek 400m untuk laluan lebih tepat.

Selain itu, ia menyediakan paparan data seperti kelajuan, jarak, kalori, masa senaman dan boleh diselaraskan dengan telefon. Fungsi Bluetooth HR broadcast pula membolehkan ia disambungkan ke komputer basikal atau aplikasi pihak ketiga bagi pemantauan kadar denyutan secara masa nyata.

Image from: Xiaomi Smart Band 10 Pro Boleh Didapati Di Malaysia Pada Harga RM399

Ia juga menawarkan fungsi menerima notifikasi daripada dua telefon serentak yang membolehkan pengguna menerima notifikasi daripada telefon Xiaomi dan iPhone pada masa yang sama. Selain itu, terdapat pelbagai pilihan watch face yang boleh disesuaikan mengikut gaya pengguna. Bateri yang disediakan pula mampu bertahan sehingga 21 hari (penggunaan ringan), 15 hari (penggunaan biasa), dan 8 hari (AOD).

Bagi yang berminat, ia dijual pada harga RM399 dengan pilihan warna Lavender Pink, Glacier Silver dan Midnight Black. Untuk masa terhad, ia boleh dibeli pada harga promosi RM289.