
PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan mereka bukan sekadar pelengkap dalam aksi persahabatan antarabangsa apabila berjaya mengikat gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea 3-3 dalam perlawanan penuh dramatik di Stadium Sultan Ibrahim malam kelmarin.
Lebih membanggakan, skuad Harimau Selatan beberapa kali berjaya mengejutkan barisan kendalian Xabi Alonso menerusi permainan pantas, serangan balas dan keberanian mencabar pemain Chelsea secara satu lawan satu.
JDT terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Arif Aiman Hanapi sebelum Chelsea bangkit melalui dua sepakan penalti Liam Delap untuk mendahului 2-1.
Namun, skuad kendalian Xisco Munoz enggan mengalah apabila Oscar Arribas menyamakan kedudukan sebelum penyerang berbisa, Bergson da Silva, muncul sebagai pemusnah apabila meledak gol ketiga JDT.
Ketika kemenangan seakan-akan sudah berada dalam genggaman Harimau Selatan, Chelsea memperoleh gol penyamaan menerusi jaringan sendiri Antonio Glauder, sekali gus memastikan kedua-dua pasukan berpuas hati dengan keputusan seri.
Xisco berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya, terutama keberanian pemain JDT mengekalkan intensiti permainan sehingga wisel penamat.
Malah, jurulatih dari Sepanyol itu percaya JDT mempunyai peluang untuk muncul sebagai pemenang sekiranya perlawanan diberikan tambahan masa kecederaan lebih panjang.
“Kalau diberikan lima minit lagi masa kecederaan, saya percaya kami mampu keluar sebagai pemenang,” katanya.
Sementara itu, Bergson menganggap jaringan menentang Chelsea sebagai detik istimewa, namun lebih penting baginya ialah persembahan keseluruhan JDT yang berjaya memberi saingan sengit kepada pasukan dari England itu.
Bergson berkata, JDT memasuki perlawanan dengan keyakinan dan kepercayaan terhadap kemampuan sendiri, sekali gus tidak membenarkan nama besar Chelsea mempengaruhi corak permainan mereka.
The post Xisco puas bikin Chelsea ‘berkeringat’ appeared first on Kosmo Digital.




