
JOHOR BAHRU : Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz bangga dengan persembahan bertenaga pemainnya ketika mengikat kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea 3-3 dalam aksi persahabatan di Stadium Sulta Ibrahim, kelmarin.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, barisan pemain skuad Harimau Selatan tidak gentar dengan kredibiliti pasukan lawan dan memberi tentangan sengit sehingga menyebabkan suhu permainan persahabatan itu sedikit ‘panas’.
Beliau yang pernah mengendali Watford di EPL sekitar 2021 mengetahui corak permainan pantas kelab di liga tersebut dan sudah membuat persiapan rapi bagi berdepan skuad bimbingan Xabi Alonso itu.
“Pada perlawanan ini, kami beraksi dengan kompak serta corak permainan tersusun di setiap posisi pertahanan, tengah dan serangan. Pemain juga faham dengan taktikal yang diterapkan,” katanya.
Dengan berakhirnya aksi pra-musim, Munoz kini mengalihkan tumpuan kepada aksi pembukaan Liga Super menentang Kuching City FC bagi merebut Piala Sumbangsih pada 22 Ogos ini.
Menurutnya, keputusan aksi persahabatan bukannya ukuran utama, sebaliknya peningkatan tahap permainan secara berterusan yang menjadi keutamaan.
Mengulas lanjut, Munoz turut mengesan beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki segera, terutamanya ketajaman jentera serangan apabila berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol lawan.
“Dalam perlawanan berintensiti tinggi, perbezaan keputusan selalunya ditentukan oleh sentuhan penyudah yang tajam di dalam kotak penalti lawan.
“Hari ini kita mencipta tiga hingga empat peluang satu lawan satu dengan penjaga gol, dan situasi itu sepatutnya disempurnakan dengan gol. Idea saya mudah, kita perlu terus berkembang dan mengambil satu lagi langkah ke hadapan,” ujarnya.
Menurut Mun[oz, tiada jaminan buat mana-mana pemain untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan perlu bersaing sengit setelah pasukan mempunyai seramai 37 pemain yang berkualiti.
“Tiada sesiapa boleh ‘tidur’ atau leka dalam skuad ini. Jika anda leka walaupun sesaat, anda mungkin akan tersisih daripada senarai pemain untuk tempoh tiga hingga empat bulan,” ujarnya.-UTUSAN
The post Munoz puas JDT dapat saingi Chelsea appeared first on Utusan Malaysia.






