Y&G perluas simpanan tanah dengan perolehan RM477 juta daripada keluarga pemegang saham utama

12/08/2025 - 10:05
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 12 Ogos – Y&G Corp Bhd merancang pembelian 236.5 hektar tanah daripada keluarga Pengarah Urusan merangkap pemegang saham utamanya, Datuk Seri Yap Seng Yew dengan nilai keseluruhan RM477 juta.
Pemaju hartanah itu berkata, pembelian itu melibatkan 38.45 hektar di Sepang berharga RM206 juta, 148.5 hektar di Ujong Permatang, Kuala Selangor berharga RM189 juta, serta 34.96 hektar lagi di Sepang melalui pembelian syarikat Konsep Wawasan Sdn Bhd pada harga RM82 juta.
Ketiga-tiga urus niaga dikategorikan sebagai transaksi pihak berkaitan memandangkan penjual adalah ahli keluarga Seng Yew, termasuk dua anaknya, Datuk Yap Jun Jien dan Yap Jun Wei.
Y&G berkata, cadangan itu adalah sebahagian daripada strategi perniagaan biasa kumpulan untuk memperbanyakkan simpanan tanah bagi pembangunan masa hadapan, sekali gus menjamin kesinambungan projek.
“Bagi tanah seluas 38.45 hektar di Sepang, anak syarikat milik penuh Nusa Wibawa Sdn Bhd menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan Nurani Saujana Sdn Bhd pada harga yang sejajar dengan penilaian pasaran oleh Jones Lang Wootton.
“Nurani Saujana dimiliki majoritinya oleh Jun Jien dan Jun Wei (masing-masing 45%), manakala baki 10% dipegang Gan Li Ching,” kata Y&G dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagi tanah di Ujong Permatang, anak syarikat Duta Asiana Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Asian Regal Holdings Sdn Bhd yang dimiliki sama rata oleh dua beradik tersebut pada harga RM189 juta, iaitu 1.56% di bawah penilaian bebas sebanyak RM192 juta.
Pembelian Konsep Wawasan Sdn Bhd pula melibatkan pengambilalihan semua saham daripada Jun Jien dan Jun Wei pada harga RM82 juta beserta diskaun 0.87% berbanding aset bersih terlaras syarikat sebanyak RM82.72 juta.
Syarikat itu memiliki 569 lot tanah yang telah dipecah sempadan di Sepang dengan keluasan keseluruhan 34.96 hektar.
Syarikat pelaburan keluarga Yap, Kinta Aroma Sdn Bhd, memegang 50.8% kepentingan dalam Y&G, diikuti pegangan langsung Seng Yew (3%), isterinya Datin Seri Gan Li Li yang juga Timbalan Pengarah Urusan (3.1%), serta Jun Jien (7.9%) dan Jun Wei (7.6%).
Pengambilalihan dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2025, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan pihak berkuasa berkaitan.
UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat bebas kepada pengarah dan pemegang saham yang tidak berkepentingan bagi cadangan tersebut. - DagangNews.com
standard
