
BANJIR kilat melanda Rasuwa, Nepal terus meruntun hati dunia termasuk isteri kepada salah seorang rakyat Malaysia yang juga Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Sani Harul.
Tidak dapat dihubungi sejak beberapa hari lalu, Aziela Shaharuddin memohon doa keajaiban daripada Yang Maha Esa agar suaminya dipelihara dan selamat untuk pulang ke pangkuan keluarga.
"Assalamualaikum abang. Sudah empat hari tanpa khabar berita daripada abang dan pasukan di Nepal.
"Ya ALLAH, Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, pada saat ini, kami sekeluarga menadah tangan kepada-MU dengan hati yang penuh harapan, penuh kerinduan dan penuh rasa takut.
"Kami berkumpul sebagai sebuah keluarga kerana kami terlalu merindui mu, namun sehingga saat ini kami masih belum mengetahui di mana dia berada dan bagaimana keadaannya.
"Ya ALLAH, hanya Engkau yang Maha Mengetahui. Engkau tahu di mana dia berada. ENGKAU melihatnya ketika mata kami tidak mampu melihatnya. ENGKAU mendengar suaranya ketika telinga kami tidak mampu mendengarnya. ENGKAU mengetahui keadaannya ketika kami hanya mampu menunggu dan berharap.
"Ya ALLAH, kami serahkan dia kepada-MU. Di saat kami tidak mampu berada di sisinya, jadilah ENGKAU yang menjaganya. Di saat kami tidak mampu membantunya, bantulah dia dengan pertolongan-MU. Ya ALLAH, peliharalah dia di mana sahaja dia berada. Jika dia dalam kesusahan, bantulah dia. Jika dia dalam bahaya, selamatkanlah dia. Jika dia ketakutan, tenangkanlah hatinya. Jika dia kesejukan, lindungilah tubuhnya. Jika dia keletihan, berikanlah kepadanya kekuatan. Jika dia sedang menunggu pertolongan, dekatkanlah pertolongan itu kepadanya," ujarnya.

Wanita itu turut menitipkan doa semoga usaha mencari dan menyelamat dipermudahkan.
"Ya ALLAH, lindungilah dia daripada arus banjir, runtuhan, kesejukan, kecederaan dan segala bahaya yang kami tidak mampu lihat dan tidak mampu jangka. Permudahkanlah usaha mereka yang sedang mencari dan menyelamatkan. Pimpinlah mereka ke tempat dia berada. Tunjukkanlah kepada mereka jalan untuk sampai kepadanya. Jika ada seseorang yang berada dekat dengannya dan mampu membantu, gerakkanlah hati orang itu untuk menemui dan menyelamatkannya.
"Ya ALLAH, kami tahu kami hanya mampu berusaha dan berdoa. Selebihnya kami serahkan kepada-MU. Maka kami mohon, Ya ALLAH, dengan sepenuh hati kami, kembalikanlah beliau kepada keluarganya. Kembalikanlah dia kepada anak-anaknya. Kembalikanlah dia kepada saudara-maranya yang sedang menunggu. Kembalikanlah dia dalam keadaan selamat dan sihat.
"Jika dia sedang berusaha untuk terus bertahan, kuatkanlah dirinya. Berikanlah dia kesabaran, berikanlah dia harapan, dan bisikkanlah ke dalam hatinya bahawa pertolongan-Mu sentiasa dekat.
"Ya ALLAH, kuatkan juga hati kami sekeluarga. Kami mengaku, Ya ALLAH, kami takut, kami risau, kami menangis. Kami tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini, tetapi kami tidak mahu berputus asa daripada rahmat-Mu. Janganlah Engkau biarkan hati kami kalah dengan ketakutan. Kurniakanlah kami kesabaran untuk terus menunggu dan kekuatan untuk terus berusaha," ungkap wanita itu lagi.
Dalam perkongsian yang sama, Aziela turut meletakkan pengharapan agar suaminya itu kembali di sisi keluarga dengan selamat.

Ya ALLAH, Engkau tahu betapa kami merinduinya. Engkau tahu betapa kami ingin melihat wajahnya semula. Kami ingin memeluknya semula. Mungkin ada kata yang belum sempat kami ucapkan kepadanya. Mungkin ada perkara yang kami harap masih diberi kesempatan untuk kami lakukan bersamanya. Jika masih ada ruang untuk kami bertemu dengannya, maka izinkanlah pertemuan itu berlaku. Izinkan kami melihat wajahnya kembali. Izinkan kami mendengar suaranya kembali. Izinkan kami memeluknya kembali. Dan izinkan kami sekeluarga bersyukur kepada-MU atas kepulangannya.
Ya ALLAH, kami tidak tahu apa yang sedang berlaku, tetapi ENGKAU tahu. Kami tidak tahu di mana dia berada, tetapi Engkau tahu. Kami tidak mampu mencapainya, tetapi Engkau Maha Berkuasa untuk mencapainya. Sebab itu, Ya ALLAH, pada saat ini kami letakkan seluruh harapan kami kepada-MU. Kami serahkan dia kepada-MU. Kami serahkan keselamatannya kepada-MU.
"Dan kami mohon, Ya ALLAH gantilah kegelisahan kami dengan ketenangan. Gantilah ketakutan kami dengan keselamatan. Gantilah air mata kami dengan kegembiraan, gantilah penantian ini dengan pertemuan semula.
"Ya ALLAH, kuatkanlah dia. Permudahkanlah mereka yang mencarinya. Kembalikanlah dia kepada kami dengan selamat. Kami tidak meminta sesuatu yang besar, Ya ALLAH. Kami hanya memohon beliau untuk kembali kepada keluarganya. Maka Ya ALLAH, kabulkanlah doa kami. Amin Ya Rabbal ‘Alamin," titip Aziela.
Hantaran berkenaan menerima titipan doa daripada warganet. Rata-rata mendoakan Mohd Sani dan semua rakyat Malaysia yang sedang dikesan kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.
Selain Mohd Sani, seorang lagi pegawai yang masih belum dikesan ialah anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB), Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, yang juga seorang pendaki profesional.
Kedua-dua mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia yang sedang dalam perjalanan menuju Everest Base Camp (EBC) ketika kejadian berkenaan berlaku.
Media terdahulu melaporkan 55 rakyat Malaysia masih gagal dikesan susulan banjir kilat dahsyat dan tanah runtuh pada Rabu lalu.
Sumber: TikTok






