“Ya, Dia Abang Saya…” – Adik Budak 46 Dedah Penyakit Yang Selama Ini Dirahsiakan Pempengaruh Itu

Health & FitnessLifestyle
1 Aug 2026 • 1:25 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: “Ya, Dia Abang Saya…” – Adik Budak 46 Dedah Penyakit Yang Selama Ini Dirahsiakan Pempengaruh Itu

KUALA LUMPUR: Di sebalik gelak tawa dan telatahnya yang sering mencuit hati jutaan pengguna media sosial, siapa sangka Budak 46 sebenarnya sedang berdepan satu ujian yang dipendam sendirian selama bertahun-tahun.

Tanpa mengharapkan simpati, pempengaruh yang dikenali ramai itu memilih untuk terus menghiburkan orang ramai meskipun penglihatannya semakin hari semakin terjejas akibat penyakit mata yang dihidapinya.

Perkara itu akhirnya didedahkan oleh adiknya menerusi satu video di TikTok, sekali gus membuka mata ramai bahawa di sebalik senyuman seseorang, tersimpan kisah yang tidak pernah diketahui umum.

Pempengaruh TikTok dikenali sebagai Budak 46 atau nama sebenarnya Ammar Zulkha rupa-rupanya menghidap retinitis pigmentosa, sejenis penyakit mata yang menyebabkan penglihatannya semakin merosot dari semasa ke semasa.

“Ya, Dia Abang Saya…”

Perkara itu didedahkan sendiri oleh adiknya menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok, sekali gus menjawab persoalan ramai selepas melihat Ammar berjalan sambil memegang bahunya.

Menurut adiknya, yang menggunakan akaun @cuna, Budak 46 selama ini memilih untuk merahsiakan penyakit tersebut daripada pengetahuan umum.

“Ya, dia abang saya. Dia sakit apa? Dia ada retinitis pigmentosa, eye disorders. Penglihatan dia memang slowly makin tak nampak day by day,” tulisnya di ruangan komen.

Tambahnya lagi, ahli keluarga sebenarnya pernah meminta Ammar berkongsi keadaan sebenar supaya orang ramai tidak terus mengecamnya, malah mungkin ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan.

Bagaimanapun, Ammar dikatakan enggan berbuat demikian kerana tidak mahu orang mengetahui penyakit yang dihidapinya.

“Dia tak suka orang tahu sakit dia ni. Waktu dia mula viral dulu, kita family suruh dia cerita masalah dia sebenarnya dekat orang, supaya orang stop kecam atau maybe ada orang yang boleh tolong. Tapi dia tak nak. Sekarang baru dia open sikit, slowly cerita dalam live. Ni pun saya buat video ni dia tak tahu,” katanya.

Netizen Akui Tersalah Sangka, Mohon Maaf Kepada Budak 46

Pendedahan tersebut mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen yang mengakui tidak menyangka individu yang sering menghiburkan orang ramai itu sebenarnya sedang berdepan ujian kesihatan.

Di ruangan komen, ramai meluahkan rasa simpati dan mengakui mereka selama ini tersalah sangka terhadap Budak 46.

“Saya minta maaf abang 46, dulu saya selalu gelakkan abang. Semoga abang kekal sihat dan dimurahkan rezeki,” tulis seorang pengguna TikTok.

Seorang lagi netizen berkata dia tidak menyangka Budak 46 menyembunyikan penyakitnya selama ini.

“Tak sangka juga dia rahsiakan sakit dia rupanya selama ni,” katanya.

Turut menarik perhatian ialah komen seorang individu yang mendakwa pernah bertemu Ammar ketika bekerja.

“Dia selalu datang tempat saya bekerja, dia cakap sekarang dia tak nampak. Semoga diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan urusan,” tulisnya.

Seorang pengguna lain pula memuji sikap Ammar yang tidak menjadikan penyakitnya sebagai alasan untuk meraih simpati.

“Selama ni dia cuma nak hiburkan diri sendiri dan orang. Kalau dia nak simpati, dah lama dia bagitahu sakit dia supaya orang kesiankan dia,” tulis netizen itu, yang turut dibalas adiknya dengan mengesahkan Ammar sememangnya tidak suka orang mengetahui keadaan kesihatannya.

Apa Itu Retinitis Pigmentosa?

Sehingga kini, video berkenaan telah meraih ratusan ribu tontonan dan terus dibanjiri komen serta doa daripada orang ramai yang berharap Ammar terus diberikan kekuatan menghadapi ujian tersebut.

Untuk rekod, retinitis pigmentosa merupakan penyakit genetik yang menjejaskan retina mata. Keadaan itu lazimnya menyebabkan penglihatan semakin kabur secara berperingkat, bermula dengan kesukaran melihat pada waktu malam sebelum medan penglihatan menjadi semakin sempit seiring perkembangan penyakit. Penyakit ini boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit, namun tahap perkembangannya berbeza bagi setiap individu. – The Malaysian Update

The post “Ya, Dia Abang Saya…” – Adik Budak 46 Dedah Penyakit Yang Selama Ini Dirahsiakan Pempengaruh Itu appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved