
Jentera Yamaha Y16ZR dilaporkan mula dilihat menjalani ujian bagi kemungkinan digunakan dalam saingan Malaysian Cub Prix musim ini. Kehadiran model tersebut mencetuskan persoalan sama ada Yamaha sedang merancang strategi baharu susulan perubahan regulasi yang diperkenalkan pada musim ini.
Umum mengetahui bahawa musim 2026 menyaksikan pengenalan regulasi baharu yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada dominasi jentera Yamaha dalam kejuaraan tersebut. Dengan talaan enjin yang lebih terhad berbanding sebelum ini, ia membuka peluang kepada pengeluar lain seperti Honda dan Voge untuk memberikan saingan lebih sengit.
Sebelum ini, Yamaha menggunakan model Yamaha Y15ZR sebagai jentera utama mereka dalam Cub Prix. Namun difahamkan prestasi jentera tersebut agak terkesan dengan regulasi terbaharu, sekali gus mendorong Yamaha untuk mula menguji Yamaha Y16ZR sebagai alternatif bagi meningkatkan daya saing mereka.









Menariknya, jentera tersebut juga dilihat diuji dalam ujian pra-musim Cub Prix yang berlangsung baru-baru ini, sekali gus memberi petunjuk bahawa Yamaha sedang menilai potensi model tersebut dalam suasana perlumbaan sebenar.
Walau bagaimanapun, penggunaan jentera itu dalam perlumbaan masih belum mendapat pengesahan rasmi daripada pihak penganjur. Ini kerana kapasiti enjin Y16ZR yang melebihi 150cc berpotensi menimbulkan isu dari sudut kesesuaian dengan regulasi kelas yang sedia ada.
Buat masa ini, ujian tersebut dilihat sebagai langkah awal Yamaha dalam mencari penyelesaian terbaik untuk kekal kompetitif dalam saingan Cub Prix musim ini. Perkembangan lanjut mengenai penggunaan Y16ZR dalam kejuaraan tersebut dijangka akan diketahui dalam masa terdekat.
The post Yamaha Y16ZR Dilihat Mula Diuji Untuk Saingan Malaysian Cub Prix appeared first on TW Media.
