SHAH ALAM - Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman memohon maaf kepada Jabatan Penjara Malaysia serta menarik semula dakwaan kononnya banduan masih boleh mendapatkan bekalan dadah dengan mudah semasa menjalani hukuman di balik tirai besi.
Yasin berkata, perkara yang pernah dikongsikan menerusi 'podcast' dan temu bual baru-baru ini sekadar pengalamannya sewaktu berada di dalam penjara.
Menurut beliau, perkongsian tersebut dibuat berdasarkan situasi dialami dan difahaminya ketika melalui tempoh berkenaan.
Kata Yasin, dirinya sedang mengalami episod bipolar mania pada waktu tersebut sebelum diarah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta Ipoh, Perak.
"Keadaan saya ketika itu mungkin telah mempengaruhi cara saya melihat, mendengar, memahami dan mentafsir perkara-perkara yang berlaku di sekeliling saya.
"Selepas mengambil maklum penjelasan Jabatan Penjara Malaysia dan melihat kembali keadaan yang saya lalui ketika itu, saya dengan ini menarik balik kenyataan berkenaan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Pelantun Mimpi Laila itu mengakui kesal sekiranya perkongsian tersebut menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam kalangan masyarakat.
Tambah beliau, perkongsian pengalamannya itu tidak pernah dibuat dengan niat untuk mencemarkan nama baik Jabatan Penjara mahupun memperkecilkan tugas pegawai dan anggotanya.
"Sehubungan itu, saya ingin memohon maaf kepada Jabatan Penjara Malaysia atas kekeliruan yang timbul.
"Saya menghargai tugas dan khidmat pegawai serta anggota Jabatan Penjara Malaysia yang menjalankan amanah dalam menjaga keselamatan, kebajikan dan proses pemulihan penghuni.
"Dengan penjelasan ini, saya harap segala kekeliruan daripada perkongsian saya sebelum ini dapat diperbetulkan dan diselesaikan dengan baik," ujarnya.
Sebelum ini, Jabatan Penjara menafikan dakwaan bahawa banduan boleh mendapatkan bekalan dadah semasa menjalani hukuman penjara.
Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Komisioner Penjara Mohamad Rosidek Musa berkata, pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ketat bagi mengawal kemasukan serta peredaran bahan terlarang dalam institusi itu.
Menurut beliau, jabatan sentiasa berusaha mengekang sebarang perkara negatif termasuk salah laku dalam kalangan penghuni penjara menerusi kawalan serta program pemulihan yang dilaksanakan.






