
MELAKA: Yayasan AEON Malaysia menyumbangkan sejumlah RM50,000 sebagai bantuan kepada rakyat Palestin yang kini sedang berdepan dengan krisis kemanusiaan, kata Setiausahanya Dr Kasuma Satria Mat Jadi.
Sumbangan itu katanya akan disampaikan melalui Kementerian Luar untuk disalurkan kepada pihak di Palestin dalam masa terdekat.
“Kita baharu sahaja meluluskan bantuan tersebut dan untuk penambahan dana, kami sedang berbincang berkenaannya memandangkan kita masih mengumpulkan dana bagi bantuan itu,“ katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan semula pusat beli-belah AEON Melaka Ayer Keroh di sini hari ini.
Perasmian pusat beli-belah itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang turut dihadiri Pengerusi AEON Co (M) Bhd Datuk Iskandar Sarudin.
Dalam pada itu katanya Yayasan AEON Malaysia akan terus memperkasakan bantuan dalam aspek pendidikan dengan melengkapkan baki daripada 60 sekolah terpilih di seluruh negara dengan infrastruktur kelas pintar.
“Dengan peruntukan RM2 juta, sebanyak 12 kelas pintar telah disiapkan pada tahun ini dan bakinya akan diteruskan pada tahun hadapan dan dalam masa yang sama, kita juga telah meluluskan 12 lagi sekolah baru untuk projek kelas pintar ini.
Bagi memantapkan lagi sesi pembelajaran, kita juga telah melantik konsultan dan tenaga pengajar khas untuk bekerjasama dengan guru-guru di sekolah terpilih ini bagi memastikan pelajar mendapat hasil yang terbaik menerusi kelas pintar ini,“ katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kasuma yang juga Ketua Pegawai Sumber Manusia AEON Co berkata Pusat Beli-Belah AEON Ayer Keroh bakal menjadi antara tarikan utama di negeri ini terutamanya sepanjang sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) ini selepas diberi wajah baru.
“Wajah baharu ini menampilkan muka bangunan atau ‘facade’ yang lebih segar serta mengetengahkan konsep pusat beli belah komuniti yang mana kita mahu sentiasa rapat dengan masyarakat setempat memandangkan pusat beli-belah ini sudah berusia 32 tahun dan merupakan yang ketiga tertua di Malaysia.
Justeru kerja pengubahsuaian selama lima bulan dengan kos mencecah RM20juta ini telah memberi sentuhan baharu kepada rekaan dalaman dan susun atur lot kedai, ruangan solat, medan selera dan bilik salinan bayi,“ katanya.
Beliau juga berkata penggunaan sistem solar juga menjadi antara elemen baharu dalam memastikan pelestarian amalan hijau dilaksanakan di pusat beli-belah ini yang dijangka mampu menjimatkan penggunaan tenaga sebanyak 15 peratus. -Bernama



