
MELAKA – “Kalau tak pilih hijau, dikatakan tak mahu penyatuan. Kalau tak pilih merah, dikatakan lupa daratan. Kalau tak pilih sesiapa, dikatakan sombong.”
Demikian luahan ringkas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem menerusi satu hantaran di Facebook.
Hantaran itu dipercayai berkaitan kedudukan politik Melaka yang mula menjadi perhatian susulan Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka dibubarkan petang ini.
Pengumuman pembubaran itu akan dibuat pada pukul 3 petang dalam sidang akhbar oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh.
Mohd. Noor Helmy kemudian mengakhiri hantaran itu dengan ayat, “Hidup ini adalah pilihan”, seolah-olah menyerahkan kepada pembaca untuk mentafsir maksud di sebalik pilihan warna yang disebutnya.
Rata-rata pengikutnya meninggalkan komen menyatakan sokongan tanpa mengira parti atau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakilinya.
“I choose you! No matter where you go!,” tulis Steven Lau.
“YB paling jujur dalam politik.Berkawan tak semestinya jadi pak turut.Berlawan tak semestinya bermusuh.Rakyat menjadi keutamaan,” kata Luis Icanovic.
Dalam perkembangan sebelum ini, Mohd. Noor Helmy secara terbuka mengakui hubungan antara UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan boleh berubah mengikut keputusan parti apabila tiba masa pilihan raya.
Katanya, jika kedua-dua parti perlu kembali berdepan, masing-masing perlu menerima hakikat itu secara terbuka dan bertanding secara ‘gentleman’.- KOSMO! ONLINE
The post YB Duyong dalam dilema, mahu pilih Pas atau PH? appeared first on Kosmo Online.






