Yemen rombak sistem bayar gaji tentera elak rasuah

WorldPolitics
11 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Yemen rombak sistem bayar gaji tentera elak rasuah

SANAA: Tentera Yemen mula menyalurkan gaji anggota secara terus ke akaun bank peri­badi masing-masing. Ia adalah usaha membendung rasuah, menghapuskan kewujudan ‘as­kar hantu’ dan menamatkan sistem lama yang membolehkan ko­mander serta pengantara me­ngawal pembayaran gaji.

Pegawai dan anggota memberitahu Arab News, mereka menerima gaji terbaharu secara terus melalui akaun bank tempatan atau syarikat pertukaran wang di kawasan yang dikuasai kerajaan, buat kali pertama dalam tempoh beberapa tahun.

“Sistem ini sangat baik kerana gaji dipindahkan terus daripada Kementerian Pertahanan ke akaun bank setiap anggota, membolehkan mereka menerima gaji di mana-mana cawangan bank,” kata seorang anggota tentera, Mohammed, kepada Arab News.

Sebelum ini, Mohammed dan puluhan ribu anggota tentera Yemen menerima gaji melalui komander unit masing-masing, yang mengambil dana pembayaran gaji daripada bank pusat sebelum mengagihkannya.

Anggota tentera sejak sekian lama mengadu komander memotong peratusan tertentu daripada gaji mereka, manakala sesetengah individu menerima beberapa bayaran gaji menggunakan nama berbeza.

Pegawai tentera dan penganalisis berkata, kewujudan askar hantu, iaitu individu tidak wujud atau tidak lagi aktif tetapi masih disenaraikan dalam rekod pembayaran gaji, membolehkan sesetengah komander menyeleweng dana awam.

Menteri Pertahanan Yemen, Leftenan Jeneral Taher Al-Aqili pada 4 Ogos lalu mengumumkan penamatan mekanisme pembayaran lama dalam angkatan tentera negara itu, de­ngan menyatakan semua anggota ki­ni menerima gaji secara terus melalui institusi kewangan tempatan.

Dalam hantaran di media sosial, Taher berkata, mekanisme pembayaran gaji unit tentera diperkenalkan, yang menetapkan gaji tidak lagi disalurkan ke akaun komander unit atau wakil mereka, sebaliknya dibayar terus kepada penerima secara peribadi.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan integriti, memastikan keadilan dalam pembayaran gaji dan melindungi hak anggota tentera.

Bagaimanapun, pembaharuan tersebut mendapat tentangan daripada sesetengah komander yang mendapat manfaat daripada sistem pembayaran lama.

Menteri itu berkata, beberapa komander enggan melaksanakan mekanisme baharu ber­kenaan, mengkritik kepimpinan tentera secara terbuka dan mengancam untuk menarik pasukan mereka dari kedudukan barisan hadapan sebagai tekanan terhadap kementerian supaya membatalkan langkah tersebut.

Menurut pekeliling tentera yang dikongsi kepada Arab News, anggota dan pegawai diberi tempoh seminggu untuk mengambil gaji mereka daripada bank tempatan atau berdepan risiko ditarik balik ke Aden. – AGENSI

 

The post Yemen rombak sistem bayar gaji tentera elak rasuah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved