
ABUJA: Pentadbiran Nigeria akan menaikkan gaji tenteranya antara 30 hingga 80 peratus, ketika kerajaan berusaha menyuntik semangat pasukan pertahanan yang bergelut menentang krisis keselamatan semakin meruncing.
Kenaikan gaji yang menyasarkan kira-kira 250,000 anggota tentera itu dilaksanakan ketika sebilangan besar rakyat Nigeria terus berdepan tekanan kos sara hidup tinggi.
Situasi itu didorong oleh pelbagai langkah reformasi ekonomi oleh Presiden Bola Tinubu yang bertujuan menarik pelabur antarabangsa, namun pada masa sama menghimpit kehidupan seharian rakyat.
Kadar inflasi di negara itu pernah melepasi 30 peratus pada 2024 sebelum menyusut kepada 15.91 peratus pada Jun lalu, manakala harga bahan api pula melonjak lebih tiga kali ganda dalam tempoh empat tahun.
Menurut Bank Dunia, kira-kira 61 peratus penduduk Nigeria kini hidup di bawah garis kemiskinan, peningkatan sebanyak empat peratus berbanding ketika Tinubu mula mengambil alih tampuk pemerintahan pada Mei 2023.
Dua pegawai mengesahkan kepada agensi berita AFP, tentera berpangkat paling rendah iaitu prebet sebelum ini menerima gaji asas sebanyak 100,000 naira (RM300.24) sebulan.
“Pegawai berpangkat melebihi kolonel akan menikmati kenaikan gaji sebanyak 30 peratus. Pelaksanaan ini merangkumi Brigedier Jeneral, Mejar Jeneral, Letnan Jeneral dan Jeneral.
“Bagi anggota berpangkat kolonel hingga pegawai waran, mereka bakal menerima kenaikan 50 peratus, manakala skop pangkat prebet hingga staf sarjan pula menikmati penambahan tertinggi iaitu 80 peratus,” kata Penasihat Media Presiden, Bayo Onanuga menerusi satu kenyataan.
Menurut pentadbiran presiden, penyelarasan gaji yang bakal dikuat kuasakan bermula September ini akan meningkatkan bil tunggakan gaji tahunan angkatan tentera Nigeria daripada 660 bilion naira (RM1.9 billion) kepada 924 bilion naira (RM2.7 bilion).
Langkah penambahbaikan itu dibuat ketika Nigeria terus mendepani ancaman pemberontakan jihadis di wilayah timur laut yang berlarutan selama lebih 17 tahun, selain konflik pertembungan antara petani dan penternak di bahagian utara tengah.
Pada masa sama, gerakan pemisah yang ganas masih bergelora di wilayah tenggara, manakala kes penculikan bagi tujuan tebusan terus berleluasa di kawasan barat laut.
Tinubu, yang dijadualkan bertanding semula dalam pilihan raya presiden menjelang Januari akan datang menegaskan bahawa pelarasan gaji tersebut merupakan tanda penghargaan tertinggi terhadap pengorbanan angkatan tentera.
“Wira-wira yang berjuang memastikan keselamatan kita di tanah air ini wajar diberikan sokongan padu dan dihargai sepanjang mereka menjalankan amanah demi negara,” jelas beliau menerusi kenyataan tersebut.
The post Nigeria naikkan gaji tentera sehingga 80 peratus appeared first on Utusan Malaysia.






