
Yes hari ini mengumumkan pelan pascabayar baharu, dinamakan Yes AI 30. Melaluinya, ia bukan sahaja memberikan akses kepada rangkaian 5G tanpa had, tetapi pada masa yang sama turut memberikan akses kepada perkhidmatan kecerdasan buatan janaan ILMUchat Pro.

Pelan ini ditawarkan pada harga RM20 sebulan untuk 6 bulan pertama, dan seterusnya ia akan menjadi RM30 sebulan. Beserta dengan pelan ini, ia menawarkan akses 5G tanpa had. Pada masa yang sama, ia menyertakan akses ILMUchat Pro berharga RM50 sebulan, sekaligus menjadikan pelan ini sesuatu yang sangat berbaloi.
Pelan ini turut hadir dengan akses panggilan tanpa had, dan penggunaan 12GB data untuk hotspot. Yes menyatakan tiada kontrak untuk pelan ini, dan tiada keperluan untuk pembayaran pendahuluan.
Penawaran ini menjadikan Yes antara yang terawal menawarkan pelan mereka bersama perkhidmatan kecerdasan buatan. Berbeza dengan syarikat telekomunikasi lain, penawaran ini mungkin mudah untuk Yes, memandangkan ILMUchat turut dibangunkan oleh syarikat dibawah YTL. Untuk makluman, sebelum ini juga pihak Yes telah menawarkan akses percuma kepada ILMUchat Pro yang boleh ditebus melalui aplikasi Yes.





